
MORRISTOWN, 3 Julai – Brazil menerima tamparan menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia apabila pemain tengahnya, Lucas Paqueta disahkan tidak dapat diturunkan menentang Norway, Ahad ini akibat kecederaan hamstring.
- Paqueta sebelum ini bergandingan dengan Casemiro dan Bruno Guimaraes di bahagian tengah, cedera ketika membantu kemenangan 2-1 ke atas Jepun.
- Sumber CBF menjangka beliau tidak akan beraksi lagi dalam kejohanan kecuali Brazil mara ke perlawanan akhir.
- Ancelotti dijangka pilih Danilo sebagai pengganti langsung atau tukar taktik dengan memasukkan Endrick atau Gabriel Martinelli.
- Raphinha kembali menjalani latihan individu dan berkemungkinan disenaraikan di bangku simpanan jika tahap kecergasan memuaskan.
Menurut sumber Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF), pemain berusia 28 tahun itu dijangka tidak akan beraksi lagi dalam kejohanan kali ini, kecuali jika Brazil berjaya mara ke perlawanan akhir pada 19 Julai di Stadium MetLife, East Rutherford.
Paqueta yang sebelum ini bergandingan bersama Casemiro dan Bruno Guimaraes di bahagian tengah, mengalami kecederaan ketika membantu Brazil mencatat kemenangan dramatik 2-1 ke atas Jepun di Houston, Isnin lalu.
Beliau kini menjalani rawatan intensif dan setakat ini menjadi satu-satunya pemain yang disahkan tidak dapat beraksi oleh ketua jurulatih, Carlo Ancelotti menjelang pertemuan penting menentang Norway yang diketuai penyerang berbisa, Erling Haaland.
Bagi mengisi kekosongan itu, Ancelotti dijangka sama ada mengekalkan corak permainan dengan menurunkan Danilo Santos sebagai pengganti langsung, atau melakukan perubahan taktikal dengan memasukkan pemain lebih menyerang seperti Endrick atau Gabriel Martinelli.
Dalam perkembangan sama, penyerang Barcelona, Raphinha yang sebelum ini diketepikan akibat kecederaan paha, telah kembali menjalani latihan secara individu.
Sekiranya tahap kecergasannya memuaskan menjelang perlawanan, beliau berkemungkinan disenaraikan di bangku simpanan, menurut sumber berkenaan.-AFP