PRN Johor: Berkempen dengan ikhlas, utamakan politik beradab

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengiringi calon PH bagi DUN N41 Puteri Wangsa Dr Maszlee Malik Foto/Bernama

KUALA LUMPUR, 27 JUN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat berkempen kepada semua calon PH yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anwar menyeru calon mendekati rakyat dengan ikhlas, bukan semata-mata untuk meraih undi.
  • Tekankan kerja keras dan menyantuni semua lapisan masyarakat; politik beradab mengatasi politik kebencian.
  • Bila ikhlas membela nasib rakyat Johor, mereka dijangka membuat pilihan tepat demi masa depan negeri.
  • Penamaan calon selesai: 172 calon layak bertanding untuk 56 kerusi DUN; PRN Johor 11 Julai, undi awal 7 Julai.

Menerusi hantaran dalam laman Facebook, Datuk Seri Anwar menyeru para calon supaya mendekati rakyat bukan sekadar untuk meraih undi, sebaliknya bagi menggalas amanah yang diberikan dengan sepenuh hati.

Beliau turut menekankan kepentingan bekerja keras dan menyantuni semua lapisan masyarakat serta membuktikan bahawa politik beradab sentiasa mengatasi politik kebencian.

“Insya-Allah, apabila kita ikhlas membela nasib rakyat Johor, mereka akan membuat pilihan yang tepat demi masa depan negeri tercinta,” katanya.

Beliau yang juga Presiden PKR turut memetik ayat 159 daripada Surah Ali ’Imran yang menuntut umatnya supaya bertawakal kepada Allah SWT selepas berazam dan berusaha.

Proses penamaan calon bagi PRN Johor ke-16 pada Sabtu selesai dengan 172 calon disahkan layak bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PH dan Barisan Nasional masing-masing mempertaruhkan 56 orang calon, Perikatan Nasional (33), Parti Bersama Malaysia (15), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (empat), Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang calon, manakala Bebas (enam).

PRN Johor akan diadakan 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai. – Bernama

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.