Kadar pengangguran negara catat penurunan kepada 2.9 peratus tahun lepas

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan hadiah johan keseluruhan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Muar/Foto BERNAMA

LABIS, 2 Julai – Kadar pengangguran negara pada tahun lepas mencatatkan penurunan kepada 2.9 peratus berbanding 3.2 peratus pada 2024, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkembangan penurunan pengangguran dimaklumkan Perdana Menteri pada mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya.
  • Kerajaan terus menekankan pengembangan bakat kemahiran melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional TVET.
  • Kebolehpasaran lepasan TVET di bawah MARA sangat tinggi, direkodkan pada 99.5 peratus.
  • KEMAS menyediakan kelas jahitan, gunting rambut, memasak, dandanan, solekan dan pengkomputeran; diminta sediakan kertas nota pencapaian.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, semalam.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan perkembangan positif itu antara lain didorong oleh usaha berterusan kerajaan memberikan penekanan kepada bakat kemahiran melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Dulu terdapat pengangguran, sekarang ini terdapat peluang pekerjaan, banyak dalam bidang teknikal yang latihannya dibuat oleh institusi TVET.

“Ia sekali gus menunjukkan usaha kita mahu mewujudkan tenaga-tenaga mahir dalam bidang teknikal ini telah membuahkan hasil,” katanya ketika merasmikan Hari Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) peringkat Johor di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata kadar kebolehpasaran pekerjaan dalam kalangan lepasan institusi TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga amat cemerlang dengan berada pada tahap 99.5 peratus.

“Selain institusi TVET, KEMAS juga banyak melahirkan pekerja berkemahiran menerusi kelas-kelas jahitan, gunting rambut, memasak, dandanan, solekan serta kelas pengkomputeran,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata lepasan graduan TVET juga digalakkan untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Statistik dan kejayaan ini semua tidak lain kerana hasil kesungguhan kita melalui kementerian, jabatan berkaitan, agensi-agensi, anak-anak syarikat agensi, melakukan perancangan untuk kebajikan rakyat dengan ikhlas dan tekun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta KEMAS menyediakan satu kertas nota mengenai pencapaian jabatan berkenaan untuk dibentang dan dimaklumkan kepada Jemaah Menteri. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.