
ULASAN BERITA
- Peningkatan pengiktirafan pasport hasil dasar luar MADANI: polisi bebas, berkecuali, hubungan dua hala dan kerjasama multilateral.
- Pengiktirafan mencerminkan kestabilan ekonomi, keselamatan dan politik, seterusnya menarik pelaburan asing serta mengukuhkan kredibiliti antarabangsa.
- Tanggungjawab bersama: rakyat mesti menjaga imej negara, mematuhi undang-undang asing dan menunjukkan sikap profesional beretika.
- Pasport baharu dilancarkan 1 Julai dengan 94 ciri keselamatan, mematuhi piawaian ICAO dan pilihan sah 5 atau 10 tahun.
Menduduki tangga ketiga di dunia, kedua di Asia Tenggara dalam Indeks Pasport 2026 serta melonjak dua kali ganda ke tangga keenam dalam Indeks Pasport Henley 2026, membuktikan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) bukan calang-calang.
Sebaliknya, antara pasport paling berkuasa dan berpengaruh dengan menawarkan akses ke lebih 180 destinasi di seluruh dunia.
Peningkatan kedudukan pasport Malaysia adalah hasil daripada usaha proaktif Kerajaan MADANI dalam memperkukuh hubungan dua hala dan pelaksanaan dasar luar yang pragmatik.
Iaitu mengamalkan polisi yang bebas, berkecuali, dan berprinsip dengan menjalinkan hubungan baik serta kerjasama pelbagai hala bersama semua negara.
Hubungan yang baik JELAS memberi kelebihan kepada Malaysia dalam perjanjian bebas visa, pengecualian visa serta kemudahan visa semasa ketibaan.
Sekali gus, memperluas kemudahan mobiliti kepada rakyat Malaysia dalam urusan pendaftaran visa sama ada untuk melancong, bekerja atau berurus niaga.
Serta, akses lebih mudah kepada perkhidmatan kesihatan dan pendidikan di luar negara.
Di sebalik dugaan ketidaktentuan geopolitik dan krisis bekalan global, pencapaian itu juga mencerminkan kestabilan Malaysia dalam aspek ekonomi, keselamatan dan politik, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan asing.
Keyakinan negara luar bukan sekadar melonjak imej dan kredibiliti Malaysia, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang dihormati di peringkat global.
Meskipun begitu, pengiktirafan terhadap pasport Malaysia menuntut bersama tanggungjawab besar rakyat.
Wajib menjaga imej negara ketika berada di luar, menghormati undang-undang tempatan dan mempamerkan sikap profesional serta beretika agar kepercayaan antarabangsa terhadap pasport Malaysia terus kekal.
Namun, selaras cabaran semasa, ada keperluan agar ciri keselamatan pasport ditambah baik walaupun setakat ini, tiada kes pemalsuan fizikal pasport Malaysia dilaporkan.
Bukan beerti yang lama tidak cukup baik, tetapi untuk jangka panjang, pasport tidak boleh kekal dengan ciri sama.
Sebab apa? Untuk mengelakkan maklumat keselamatan diketahui dan dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Apatah lagi dengan purata permohonan PMA di seluruh negara mencecah antara 180,000 hingga 200,000 sebulan atau bersamaan 10,000 hingga 12,000 sehari.
Ruang untuk memanipulasi identiti seseorang individu harus ditutup sepenuhnya.
Bermula 1 Julai, pasport Malaysia berwajah baharu dilancarkan, dilengkapi 94 ciri keselamatan yang dipertingkat berbanding 49 ciri pada versi lama.
Antara teknologi keselamatan baharu ialah hologram khas, cetakan ultraungu (UV), elemen visual tersembunyi dan ciri forensik antipemalsuan.
Setiap halaman dalam pasport mempunyai rekaan unik tersendiri bagi meningkatkan keselamatan dan menyukarkan peniruan.
Manakala, benang jahitan pasport turut dinaik taraf dengan ciri keselamatan khas supaya sukar diubah suai atau dipalsukan.
Paling penting pasport baharu mematuhi piawaian antarabangsa dan diiktiraf Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk ePassport moden.
Untuk rekod, Malaysia antara negara terawal memperkenalkan sistem ePassport sejak tahun 1998 dan versi 2026 dianggap sebagai naik taraf terbesar, setakat ini.
Dan tentunya berita gembira buat rakyat Malaysia ialah untuk pertama kali, warganegara berumur 18 tahun ke atas boleh memilih pasport sah selama 10 tahun atau 5 tahun mengikut keperluan pemohon.
Pengenalan pasport 10 tahun bukan sahaja mengurangkan kekerapan pembaharuan pasport, malah menjimatkan masa pengguna serta memudahkan urusan perjalanan dalam dan luar negara.
Dengan kadar harga ditetapkan RM350 untuk pasport 10 tahun, manakala pasport lima tahun kekal RM200.
Walaupun pasport baharu telah diperkenal, rakyat tidak perlu terburu-buru menggantikan pasport semasa sedia ada.
Sekiranya masih sah laku, teruskan menggunakannya sehingga ia tamat tempoh.
Paling penting harus diingat, jika Mykad ibarat nyawa kedua buat rakyat Malaysia. Begitu juga pasport kita.
Bukan sekadar dokumen perjalanan biasa. Jadi simpan elok-elok. Jangan sampai hilang! Jangan bagi orang pegang sesuka hati!
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Emmi Noraliza Adnan.