Cape Verde bukan lawan mudah – Scaloni

Ketua Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni/Foto AFP

MIAMI, 3 Julai – Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni memberi amaran tegas kepada anak buahnya agar tidak memandang rendah Cape Verde menjelang pertembungan pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026, sambil menegaskan kejayaan pasukan itu bukan satu kebetulan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lionel Messi menjaringkan enam gol; kebanyakan gol Argentina datang daripadanya.
  • Scaloni menolak bahawa pasukan terlalu bergantung kepada Messi dan menggesa sumbangan jaringan lebih seimbang daripada pemain lain.
  • Jika menang, Argentina akan berdepan Australia atau Mesir di pusingan 16 lalu kemungkinan bertemu Switzerland atau Colombia di suku akhir.

Menurut Scaloni, kemaraan mengejut Cape Verde ke peringkat kalah mati membuktikan kekuatan sebenar mereka, apatah lagi skuad digelar “Blue Sharks” itu belum tewas sepanjang saingan peringkat kumpulan.

“Ini pasukan yang tidak kalah. Mereka bukan berada di sini secara kebetulan. Kami perlu menghormati mereka,” katanya menjelang perlawanan ke-100 bersama Argentina.

Juara bertahan itu mara bergaya ke pusingan kalah mati hasil aksi cemerlang Lionel Messi yang meledak enam gol dalam tiga perlawanan.

Namun, kebergantungan terhadap bintang berusia 39 tahun itu turut menjadi perhatian apabila enam daripada lapan gol Argentina dijaringkan oleh pemain tersebut.

Dua lagi gol hadir menerusi Giovani Lo Celso dan Lautaro Martinez ketika menentang Jordan.

Scaloni bagaimanapun menolak tanggapan pasukannya terlalu bergantung kepada Messi, sebaliknya berharap sumbangan jaringan dapat dikongsi secara lebih seimbang dalam kalangan pemain.

Jika berjaya menewaskan Cape Verde di Miami, Argentina bakal berdepan Australia atau Mesir di pusingan 16 terbaik, sebelum kemungkinan bertemu Switzerland atau Colombia di suku akhir.

Dalam masa sama, Scaloni turut mengakui Perancis muncul antara pasukan paling menyerlah setakat ini dengan prestasi meyakinkan menuju pusingan kalah mati.

“Apa yang ditunjukkan Perancis sangat mengagumkan. Mereka sebuah pasukan hebat,” katanya.

Argentina kini berdepan cabaran sebenar untuk mempertahankan kejuaraan, dengan fokus sepenuhnya diberikan kepada misi menamatkan kejutan Cape Verde.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.