
JOHOR BAHRU, 27 Jun – Seramai 172 calon disahkan bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, yang akan berlangsung pada 11 Julai ini.
- 138 calon lelaki dan 34 wanita disahkan bertanding.
- PH dan BN bertanding di semua kerusi; PN 33, BERSAMA 15, MUDA 4, POA dan PSM satu setiap, enam calon Bebas.
- 14 pertandingan dua penjuru, 27 tiga penjuru, 12 empat penjuru dan tiga pertandingan lima penjuru.
- Calon tertua 73 tahun (PN, DUN Stulang) dan termuda 23 tahun (PN, DUN Johor Lama); tempoh berkempen hingga 10 Julai pukul 11.59 malam.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, daripada jumlah itu, 138 ialah calon lelaki manakala 34 lagi wanita.
Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing bertanding di semua 56 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) di 33 kerusi, Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) 15 kerusi, MUDA empat kerusi.
Manakala Parti Orang Asli Malaysia (POA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing satu kerusi. Enam calon Bebas turut bertanding.
“Secara keseluruhannya, terdapat 14 pertandingan dua penjuru, 27 pertandingan tiga penjuru, 12 pertandingan empat penjuru dan tiga pertandingan lima penjuru,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas tamat proses penamaan calon, hari ini.
Datuk Ramlan turut memaklumkan calon tertua berusia 73 tahun mewakili Perikatan Nasional yang bertanding di DUN Stulang, manakala calon termuda berusia 23 tahun daripada parti sama bertanding di DUN Johor Lama.
Tempoh berkempen bermula hari ini dan berakhir pada pukul 11.59 malam, 10 Julai.