PRN NS: 37.29 peratus keluar mengundi setakat 12 tengah hari

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya , Datuk Seri Ramlan Harun / Foto RTM

SEREMBAN, 1 Ogos – Sebanyak 37.29 peratus keluar mengundi pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 setakat 12 tengah hari dengan sebahagian besar merupakan golongan warga emas.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPR jangka peratusan keluar mengundi 72 hingga 75 peratus; menyeru pengundi muda keluar segera kerana ramalan cuaca petang kurang baik.
  • Kesemua 401 pusat pengundian melibatkan 1,668 saluran dibuka tepat 8 pagi dan akan ditutup pada 6 petang.
  • SPR laksanakan projek rintis OCR-VA di tujuh saluran Sekolah Menengah Agama Datuk Klana Petra Maamor untuk merekod kehadiran pengundi secara digital.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata pihaknya menjangkakan peratusan keluar mengundi boleh mencapai antara 72 hingga 75 peratus berdasarkan sambutan dan suasana sepanjang tempoh berkempen.

“Kita menyeru orang muda supaya segera keluar mengundi kerana cuaca sebelah petang dijangka tidak berapa baik.

“Justeru, ambil kesempatan sementara cuaca baik ini untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau beberapa pusat pengundian di sini.

Datuk Seri Ramlan berkata kesemua 401 pusat pengundian melibatkan 1,668 saluran dibuka tepat pukul 8 pagi tadi dan akan ditutup 6 petang nanti.

Selain itu katanya SPR menerima sebanyak 293 aduan berkaitan kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh berkempen.

“Kebanyakan aduan melibatkan kesalahan kecil seperti pemasangan poster yang tidak mengikut peraturan, menghalang lalu lintas serta aktiviti berkempen tanpa permit,” jelasnya.

Sementara itu, SPR turut melaksanakan projek rintis Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (OCR-VA) bagi tujuan merekodkan kehadiran pengundi secara digital menggunakan kad pengenalan.

Projek itu kata Datuk Seri Ramlan dilaksanakan di tujuh saluran di Sekolah Menengah Agama Datuk Klana Petra Maamor sebagai langkah awal ke arah pendigitalan proses perekodan kehadiran pengundi.

“Projek rintis ini sebagai permulaan baik ke arah pendaftaran secara digital yang telah dilaksanakan di banyak negara lain.

“Kita akan meneliti keberhasilan projek ini dengan mendapatkan pandangan dan sesi libat urus daripada semua pemegang taruh,” katanya lagi.

Tambah beliau, projek tersebut tidak melibatkan proses pilihan raya yang lain dan hanya bertujuan menilai keberkesanan penggunaan kad pengenalan untuk merekodkan kehadiran berbanding kaedah manual.

Pelaksanaan OCR-VA jelasnya masih di peringkat penilaian dan hasil projek rintis itu akan diteliti sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.