SAUDARA PENGARANG
Di sebuah klinik universiti, seorang pesakit warga emas duduk menunggu giliran untuk bertemu doktor. Wajahnya kelihatan gelisah, bukan kerana sakitnya sahaja, tetapi kerana dia mahu seseorang mendengar dan menenangkannya.
Di sebelah doktor, seorang pelajar perubatan memerhati dengan teliti. Sebaik sahaja doktor menerangkan keadaan pesakit, pelajar itu membuka aplikasi kecerdasan buatan (AI) untuk menyemak maklumat tambahan.
Maklumat itu membantu, tetapi apa yang benar-benar membuat pesakit lega adalah suara doktor yang lembut, cara beliau bertanya, dan kesediaan untuk mendengar tanpa tergesa-gesa. Itulah empati: kemampuan melihat manusia di sebalik simptom.
Dalam hubungan doktor-pesakit, empati bukan sekadar tambahan. Ia penentu sama ada pesakit pulang dengan jawapan atau dengan ketenangan hati. Ramai pesakit yang membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebenarnya bukan marah pada rawatan, tetapi pada cara ia diterangkan.
Mereka berasa tidak difahami, tergesa-gesa, atau tidak sempat bertanya. Inilah sebabnya empati digelar ‘ubat senyap’ yang kadang kala lebih melegakan daripada preskripsi di tangan.
Teknologi memang banyak membantu dalam bilik kuliah. Aplikasi AI mampu menerangkan struktur organ, menunjukkan animasi ringkas atau memberi gambaran asas penyakit dengan cepat. Ramai pelajar yang lebih mudah faham melalui visual begini berbanding membaca perenggan panjang dalam buku.
Namun pensyarah sering mengingatkan bahawa pemahaman klinikal bukan hanya menghafal fakta. Pelajar perlu belajar mendengar pesakit, memahami cara mereka bercerita, dan menangkap kebimbangan yang tidak disebut dengan kata-kata. Kemahiran sebegini hanya muncul apabila berhadapan dengan manusia sebenar, bukan melalui skrin.
Apabila ditanya, ramai pelajar mengaku bahawa belajar melalui aplikasi tidak sama dengan berdepan pesakit sebenar. Ada pesakit yang bercakap perlahan kerana malu, ada yang tidak tahu bagaimana mahu menyusun ayat, dan ada yang cuba kelihatan tenang walaupun sedang risau.
Dalam situasi begini, pelajar kadang-kadang tidak pasti bagaimana mahu memulakan perbualan atau menenangkan pesakit. Inilah bahagian perubatan yang tidak boleh diajar oleh AI.
Di sinilah peranan pensyarah amat penting. Dalam sesi klinikal, pelajar melihat sendiri bagaimana doktor berdepan pelbagai emosi pesakit. Ada pesakit yang datang dengan suara bergetar, ada yang letih selepas rawatan panjang, dan ada yang sekadar mahu seseorang mendengar cerita mereka walaupun sekejap.
Pensyarah menunjukkan bahawa empati bukan sekadar bercakap lembut, tetapi kemampuan membaca manusia; bila perlu diam, bila perlu menerangkan semula, dan bila perlu meyakinkan pesakit dengan nada yang menenangkan. Kemahiran begini hanya dapat dipelajari melalui teladan, bukan daripada aplikasi.
Walaupun aplikasi AI semakin canggih, ia tetap alat bantu. Pelajar boleh menggunakannya untuk memahami asas penyakit, tetapi mereka perlu melengkapkan pengetahuan itu dengan melihat bagaimana pesakit bertindak balas.
Dalam sesi tutorial, pensyarah sering membawa pelajar mengikuti sesi rawatan untuk melihat bagaimana teori dan realiti bertemu. Di situ, pelajar belajar membaca reaksi pesakit yang kelihatan faham tetapi sebenarnya masih ragu-ragu.
Mereka belajar menangkap perubahan nada suara atau renungan yang menunjukkan pesakit memerlukan penjelasan tambahan. Gabungan teknologi dan kemanusiaan inilah yang membentuk asas seorang doktor.
Sebagai masyarakat, kita juga memainkan peranan. Ramai pesakit sebenarnya lebih lega apabila doktor meluangkan sedikit masa untuk bertanya khabar, menjelaskan rawatan dalam bahasa yang mudah, dan memastikan mereka betul-betul faham. Detik kecil begini membuatkan pesakit berasa dihargai. Ia bukan soal teknik komunikasi, tetapi soal ikhlas memahami manusia.
Sebab itu, apabila kita bercakap tentang doktor masa depan, harapan kita bukan sekadar “doktor yang mahir teknologi”, tetapi doktor yang mampu melihat pesakit sebagai manusia, bukan sekadar data dalam skrin.
Pesakit mungkin lupa istilah perubatan yang diterangkan kepada mereka, tetapi mereka akan sentiasa ingat doktor yang membuat mereka berasa tenang, dihormati dan difahami. Dalam dunia perubatan yang semakin dipenuhi teknologi baharu, inilah nilai yang perlu kita pelihara; bahawa merawat penyakit ialah tugas profesional, tetapi merawat manusia ialah tugas kemanusiaan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Pendidikan Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
e-mel: