Tiga pelajar warga asing ditahan bantu siasatan kes bunuh

Foto hiasan

IPOH, 23 September – Tiga pelajar warga asing berusia antara 17 hingga 20 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki tempatan di Kampung Kuchai, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis terima laporan seorang lelaki tempatan ditemui tidak sedarkan diri di Kampung Kuchai pada 18 September.
  • Mangsa, 53 tahun, ditemui cedera di muka, dibawa ke HRPB dan disahkan meninggal kira-kira 6.42 petang semalam.
  • Bedah siasat: punca kematian trauma tumpul pada kepala; kes disiasat di bawah Seksyen 302; orang ramai diminta hubungi IPD Ipoh 05-2451500.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Muhammad Najib Hamzah berkata, ketiga-tiga suspek ditahan di sebuah pangsapuri, pagi tadi.

Menurut beliau, polis sebelum ini menerima laporan berhubung penemuan seorang lelaki tempatan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kampung berkenaan pada 18 September lalu.

Mangsa berusia 53 tahun ditemukan terbaring dengan kecederaan di bahagian muka sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia semalam kira-kira pukul 6.42 petang.

Bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan trauma tumpul pada bahagian kepala.

Susulan itu, polis menahan tiga pelajar berkenaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala motif kejadian masih dalam siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-245 1500 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.