
JOHOR BAHRU, 9 September – Penantian tujuh tahun 171 plaintif dalam kes saman sivil berhubung pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, akhirnya terjawab apabila Mahkamah Tinggi Johor Bahru memutuskan mereka berjaya dalam tuntutan terhadap empat defendan.
- Mahkamah memerintahkan empat defendan membayar RM100,000 kos guaman kepada plaintif.
- Pertimbangan mahkamah termasuk keterangan doktor tentang kemasukan luar biasa dan kumpulan simptom seragam dalam satu hingga dua minggu.
- 42 plaintif dimasukkan ke wad kecemasan dalam tiga gelombang pada 7, 12 dan 13 Mac 2019.
- Plaintif diperintahkan bayar RM80,000 kepada lapan defendan lain; JAS tidak wujud hubungan sivil berkaitan pembuangan sisa.
Mahkamah turut memerintahkan keempat-empat defendan membayar RM100,000 kos guaman kepada 171 plaintif berkenaan.
Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Manira Mohd Nor, selepas meneliti kes pencemaran yang berlaku pada 7 Mac 2019, yang menjejaskan pelajar sekolah, orang awam dan nelayan di kawasan berkenaan.
Empat defendan terdiri daripada syarikat pemprosesan tayar, P Tech Resources, dua pengarah syarikat itu serta seorang pemandu lori.
Dalam penghakimannya, mahkamah antara lain mempertimbangkan keterangan doktor mengenai kemasukan luar biasa pesakit ke wad, termasuk kewujudan kelompok simptom yang seragam dalam tempoh satu hingga dua minggu ketika bencana pencemaran berlaku.
Mahkamah turut mengambil kira faktor masa dan jarak dalam menilai kaitan antara pencemaran dengan kesan yang dialami plaintif.
Seramai 42 plaintif direkodkan dimasukkan ke wad kecemasan dalam tiga gelombang, masing-masing pada 7, 12 dan 13 Mac 2019.
Bagaimanapun, plaintif diarahkan membayar RM80,000 kos guaman kepada lapan defendan lain, termasuk Kerajaan Negeri Johor dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), selepas tuntutan terhadap mereka digugurkan.
Mahkamah mendapati fungsi JAS di bawah kelulusan pelan Majlis Bandaraya Pasir Gudang tidak mewujudkan hubungan sivil dengan penduduk berhubung pembuangan sisa secara haram oleh pihak ketiga.
Mahkamah turut mendapati aktiviti pembuangan sisa pada awal pagi 7 Mac 2019 dilakukan secara sulit dan tiada keterangan menunjukkan defendan berkenaan mengetahui atau terbabit dalam rancangan tersebut.
Plaintif diwakili Datuk Kamarudin Ahmad.