
SELANGOR, 9 September – Polis mengesahkan lelaki yang ditembak mati dalam satu kejadian beberapa hari lalu merupakan ketua sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah yang berjaya ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
- Suspek dipercayai mengatur penyewaan premis, membawa masuk prekursor dan peralatan, serta merekrut anggota sindiket.
- Op Eumenes merampas lebih 7,000 kg cecair MDMA dan lebih 6,000 kg serbuk MDMA; keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2.4 bilion.
- Lima suspek ditahan, termasuk seorang warga asing dipercayai 'chemist'; operasi dijalankan 15 Ogos di Selangor dan Kuala Lumpur.
Pengarah JSJN Bukit Aman, CP Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berkenaan dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan serbuan yang membawa kepada rampasan dadah bernilai kira-kira RM2.4 bilion.
Menurut beliau, suspek yang maut itu dipercayai berperanan mengatur urusan penyewaan premis, membawa masuk bahan prekursor serta peralatan dari luar negara dan merekrut anggota sindiket.
“Kita percaya ketua sindiket bagi aktiviti ini adalah suspek yang ditembak mati beberapa hari lalu. Suspek yang maut itu dikesan mempunyai kaitan dengan serbuan berkenaan, selain berperanan mengatur resit penyewaan premis, membawa masuk bahan prekursor serta peralatan dari luar negara, di samping merekrut ahli-ahli sindiket yang lain,” katanya pada sidang media di Puncak Alam, hari ini.
Dalam kes sama, seorang suspek warga asing yang ditahan dipercayai berasal dari Taiwan dan berperanan sebagai ‘chemist’ bagi membantu sindiket memproses dadah.
Menerusi Op Eumenes, polis menahan lima suspek dan merampas lebih 7,000 kilogram cecair MDMA serta lebih 6,000 kilogram serbuk MDMA, selain pelbagai jenis dadah lain.
Keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM2.4 bilion, manakala harta bernilai kira-kira RM276,000 turut disita.
Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Februari lalu dan menggunakan kawasan perindustrian sebagai lokasi pemprosesan serta penyimpanan dadah.
Operasi berkenaan dijalankan pada 15 Ogos lalu di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.