
SELANGOR, 9 September – Polis menahan seorang lagi juruterbang tempatan berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan kes pengedaran dadah antarabangsa yang dikaitkan dengan seorang pembantu juruterbang yang ditahan Polis Republik Indonesia (POLRI) di Jakarta, sebelum ini.
- Suspek dipercayai menguruskan perpindahan kewangan dan wang hasil jualan dadah melalui akaunnya.
- POLRI merampas 15 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi dan methamphetamine, dianggarkan bernilai RM45 juta.
- Polis meneruskan siasatan bagi kenal pasti keseluruhan sindiket dan meneliti aliran kewangan termasuk kemungkinan pengubahan wang haram.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek ditahan di sekitar Lembah Klang kira-kira dua hari lalu.
“Suspek dipercayai membantu pembantu juruterbang terbabit dalam urusan perpindahan kewangan, termasuk menguruskan wang hasil jualan dadah yang disalurkan menerusi akaunnya,” katanya
pada sidang media di Puncak Alam, hari ini.
Katanya, suspek yang berkhidmat dengan sebuah syarikat penerbangan komersial berbeza dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan bersama pembantu juruterbang terbabit sejak kira-kira setahun lalu.
“Tangkapan terbaharu ini menjadikan keseluruhan tujuh individu ditahan berhubung kes berkenaan, susulan penahanan enam lelaki tempatan pada 4 September lalu,” katanya.
Sebelum ini, seorang pembantu juruterbang berusia 39 tahun ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada Julai lalu kerana disyaki cuba menyeludup 25 kilogram dadah.
Dalam operasi itu, POLRI turut merampas 15 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi dan methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM45 juta.
Sementara itu, enam lelaki tempatan ditahan pada 4 September lalu hasil maklumat diperoleh pasukan JSJN ketika menjalankan siasatan di Jakarta dari 11 hingga 15 Ogos lalu.
Polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian sindiket berkenaan serta meneliti aliran kewangan, termasuk kemungkinan wujud kegiatan pengubahan wang haram.