Lelaki maut, motosikal terbabas di Jalan Cyberjaya–Putrajaya

Foto Hiasan

SEPANG, 9 September – Seorang lelaki tempatan berusia 30-an maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Kilometer 47.1, Jalan Cyberjaya–Putrajaya, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penunggang dipercayai hilang kawalan; motosikal bergeser dengan penghadang besi, menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak.
  • Penunggang cedera kepala dan disahkan meninggal di lokasi; pembonceng cedera pada muka dan leher, dikejarkan ke hospital.
  • Kedua-dua mangsa dipercayai bekerja di pusat jagaan warga emas swasta; kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman berkata, kejadian berlaku kira-kira 7.32 pagi ketika mangsa bersama pembonceng, seorang wanita warga asing berusia 40-an, dalam perjalanan dari Dengkil menuju Putrajaya.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, penunggang dipercayai hilang kawalan sebelum motosikal terbabas dan bergeser dengan besi penghadang jalan di sebelah kiri lorong kecemasan.

“Akibat kejadian, kedua-dua mangsa tercampak dan terjatuh di atas permukaan jalan.

“Penunggang mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, pembonceng mengalami kecederaan pada muka dan leher sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Kedua-dua mangsa dipercayai bekerja di sebuah pusat jagaan warga emas swasta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.