Serangan serentak : Tiada maklumat militan, gerila masuk Kelantan – PGA

Kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand terus dipertingkatkan sebagai langkah berjaga-jaga

PASIR MAS, 23 Ogos – Pasukan Gerakan Am (PGA) mengesahkan tiada maklumat mengenai cubaan militan atau gerila dari Selatan Thailand memasuki Kelantan setakat ini, susulan siri pengeboman dan insiden keganasan yang berlaku serentak di tiga wilayah Selatan Thailand malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • PGA memperketatkan kawalan sempadan; petugas barisan hadapan diminta sentiasa berwaspada terhadap cubaan kemasukan.
  • Kerjasama keselamatan dengan Thailand baik melalui Jawatankuasa Sempadan Serantau, termasuk mesyuarat Hat Yai dan pertukaran maklumat.
  • Ketua Polis melaporkan tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa; orang ramai dinasihat berhati-hati dan menangguhkan perjalanan tidak penting.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am SAC Ahmad Radzi Hussain berkata kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand bagaimanapun terus dipertingkatkan sebagai langkah berjaga-jaga, termasuk mengingatkan petugas barisan hadapan supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang cubaan kemasukan.

“Memang kami sentiasa memperketatkan kawalan sempadan dan mengingatkan petugas barisan hadapan sekiranya ada kejadian atau pihak yang cuba masuk ke arah kita, kami akan ambil tindakan,” katanya.

Setakat ini, isu yang masih dikesan di kawasan sempadan ialah kemasukan pendatang tanpa izin.

Beliau ketika mengulas mengenai kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand berkata hubungan kedua-dua negara berada pada tahap terbaik, termasuk melalui platform Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) yang menjadi saluran pertukaran maklumat berkaitan keselamatan sempadan.

Menurut SAC Ahmad Radzi, mesyuarat RBC yang berlangsung di Hat Yai, Thailand dari 1 hingga 3 September akan disertai Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat, Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah, Pemangku Ketua Polis Perlis serta beliau sendiri dan wakil Angkatan Tentera Malaysia.

“Memang kami sentiasa bertukar-tukar maklumat dan setakat ini kerjasama kami dengan pihak berkuasa Thailand memang baik,”katanya.

Beliau berkata RBC mempunyai enam kumpulan kerja yang merangkumi aspek pengurusan sempadan, darat, bencana dan risikan bagi memperkukuh kerjasama keselamatan antara Malaysia dan Thailand.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Pekan Rantau Panjang berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di sini hari ini mendapati anggota PGA meningkatkan rondaan dan pemantauan di beberapa lokasi, termasuk di laluan utama menuju ke sempadan.

Langkah itu dilihat sebagai usaha memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan sempadan susulan perkembangan terbaharu di Selatan Thailand.

Datuk Mohd Yusoff hari ini melaporkan tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam siri pengeboman dan insiden keganasan yang berlaku serentak di tiga wilayah Selatan Thailand malam tadi.

Beliau turut meminta rakyat Malaysia supaya berhati-hati dan menangguhkan perjalanan ke negara berkenaan, terutama jika tiada urusan penting.

Terdahulu, wilayah Narathiwat dikenakan perintah berkurung bermula 10.15 malam tadi hingga 5 pagi tadi selepas lebih 50 insiden termasuk pengeboman, pembakaran pejabat kerajaan tempatan dan pembakaran tayar dilaporkan berlaku di tiga wilayah berkenaan.

Letupan kuat dari arah Narathiwat, Selatan Thailand malam tadi turut menggegarkan kediaman dan menimbulkan kebimbangan kepada penduduk di sempadan Malaysia-Thailand, termasuk Kampung Lubok Gong dan Kampung Tersang, Rantau Panjang di sini.-BERNAMA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.