
PUTRAJAYA, 13 Mei – Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan pihak pembelaan dan pendakwaan untuk mendapatkan serta meneliti Transkripsi Rakaman Mahkamah (CRT) berhubung prosiding rayuan kes rasuah membabitkan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
- Peguam bela gagal sediakan afidavit mitigasi kerana mereka tidak dibenarkan mengakses rakaman prosiding 5 dan 10 Februari.
- Mahkamah memerintahkan penyelarasan nota dan membenarkan permohonan pembelaan selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.
- Mohd Isa disabit atas sembilan pertuduhan, dijatuhi penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta; prosiding semakan ditangguhkan.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah memutuskan agar kedua-dua pihak meneliti rakaman tersebut bagi membandingkan nota masing-masing sebelum memaklumkan persetujuan yang dicapai kepada mahkamah.
Turut bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Keputusan itu dibuat selepas peguam bela M. Athimulan, yang mewakili Mohd Isa, memaklumkan pihaknya gagal menyediakan afidavit sokongan bagi rayuan meringankan hukuman kerana tidak dibenarkan mengakses rakaman prosiding yang berlangsung pada 5 dan 10 Februari lalu.
Athimulan mendakwa pihak pembelaan tidak pernah diminta untuk mengemukakan hujah mitigasi (meringankan hukuman) dalam prosiding sebelum ini.
Justeru rakaman CRT tersebut amat diperlukan bagi tujuan berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memaklumkan bahawa permohonan untuk mendapatkan rakaman tersebut tidak dibenarkan sebelum ini.
Namun menyifatkan isu berkenaan telah selesai dan dijawab oleh pihak-pihak terlibat.
Mahkamah membenarkan permohonan pembelaan selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dan memerintahkan penyelarasan nota dibuat bagi memastikan kelancaran prosiding.
Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad 75, sebelum ini disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).
Beliau dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta, keputusan yang dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Prosiding semakan hari ini ditangguhkan dan mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada esok.