Pelajar ditemukan tidak sedarkan diri disahkan telah meninggal dunia

Foto hiasan

GUA MUSANG, 13 Mei – Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun meninggal dunia selepas dilaporkan tidak sedarkan diri di asrama Sekolah Menengah Paloh, Gua Musang, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekolah membawa remaja ke Klinik Kesihatan Chiku 03; pegawai perubatan mengesahkan kematian.
  • Bedah siasat di Hospital Gua Musang mendapati punca awal: pendarahan spontan di kepala dan paru-paru berair.
  • Polis tidak menemui unsur jenayah; mayat diserahkan keluarga, kes diklasifikasikan mati mengejut dan siasatan diteruskan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu daripada bapa pelajar tersebut pada 8.53 pagi.

“Pihak sekolah telah membawa remaja itu ke Klinik Kesihatan Chiku 03 untuk mendapatkan rawatan bagaimanapun pegawai perubatan mengesahkan dia telah meninggal dunia.

“Susulan itu, proses bedah siasat dijalankan di Hospital Gua Musang pada 3.30 petang hari sama dan hasil siasatan awal mendapati punca kematian akibat pendarahan spontan di bahagian kepala serta paru-paru berair,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Superintenden Sik berkata pemeriksaan lanjut oleh polis mendapati tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu.

Beliau berkata mayat telah diserahkan kepada ahli keluarga untuk pengebumian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dengan siasatan lanjut masih diteruskan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai insiden itu kerana boleh mengganggu sensitiviti keluarga pelajar tersebut.