
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.097 juta berhubung kelulusan bagi permohonan 1,000 kuota pekerja asing untuk sebuah syarikat, empat tahun lalu.
- Saravanan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
- Didakwa menerima RM150,000 dan RM350,000 daripada pengarah syarikat melalui seorang individu, serta RM597,000 melalui cek deposit.
- Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, hukuman maksimum 20 tahun penjara dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda.
- Mahkamah tetapkan jaminan RM450,000, seorang penjamin, lapor diri SPRM setiap tiga bulan, larangan ganggu saksi; sebutan semula 29 Sept.
Datuk Seri M.Saravanan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Saravanan selaku Menteri Sumber Manusia ketika itu didakwa menerima rasuah berjumlah RM150,000 dan RM350,000 daripada seorang pengarah syarikat melalui seorang individu; bagi meluluskan permohonan sebanyak 1,000 kuota pekerja asing bagi syarikat berkenaan.
Kesalahan itu masing-masing didakwa dilakukan pada 16 Jun 2022 di No. 33, Jalan 8/155A, Bukit Jalil Golf & Country Resorts, Kuala Lumpur dan 7 Julai 2022 di Jalan Telawi 3, Bangsar.
Bagi pertuduhan ketiga, bekas menteri sumber manusia itu didakwa menerima suapan berjumlah RM597,000 daripada pengarah syarikat yang sama menggunakan sekeping cek Maybank Islamic yang didepositkan ke dalam akaun Maybank Islamic milik Big Seven Ventures Sdn Bhd bagi tujuan serupa dan kesalahan itu dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Cawangan Jalan Klang Lama, Taman Desa pada 7 Julai 2022.
Bagi kesemua tiga pertuduhan berkenaan, Datuk Seri M.Saravanan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pihak pendakwaan mencadangkan wang jaminan berjumlah RM800,000 berserta tiga syarat tambahan iaitu untuk tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap tiga bulan sekali, menyerahkan pasport antarabangsa dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sama ada secara sendiri atau menggunakan pihak ketiga.
Menerusi hujan pendakwaan, jumlah jaminan itu adalah munasabah mengambil kira kedudukan sebagai seorang ahli politik yang berpengaruh dan menegaskan syarat berkenaan adalah bagi memastikan kehadiran tertuduh sepanjang prosiding di mahkamah.
Peguam Geethan Ram Vincent mewakili Datuk Seri M.Saravanan membantah jumlah jaminan yang dicadangkan dan menyifatkan ia tidak munasabah kerana wang jaminan adalah
bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah dan bukannya sebagai suatu bentuk hukuman sebelum kes diputuskan.
Peguam berkenaan turut memohon agar pasport antarabangsa Datuk Seri M.Saravanan tidak diserahkan kepada mahkamah kerana anak guamnya perlu melakukan perjalanan
ke luar negara bagi urusan kerja kerana merupakan pengerusi beberapa yayasan, selain tertuduh juga perlu mendapatkan rawatan berkala di India.
Jelas peguam itu, anak guamnya juga tidak pernah gagal menghadiri mana-mana panggilan atau janji temu yang ditetapkan SPRM sepanjang siasatan dijalankan.
Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan wang jaminan berjumlah RM450,000 dengan seorang penjamin dengan dua syarat tambahan dipenuhi iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM setiap tiga bulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sama ada secara sendiri atau menggunakan pihak ketiga.
Mahkamah menetapkan 29 September depan untuk sebutan semula kes.