
PONTIAN, 13 April – Polis menahan dua individu termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan menerusi Op Tapis di daerah ini, kira-kira jam 9.15 malam Jumaat lalu.
- Rampasan syabu 1,528 gram, dianggarkan bernilai RM69,000.
- Suspek lelaki 36 tahun dipercayai penghantar menggunakan perkhidmatan e-hailing; mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
- Suspek wanita 43 tahun disyaki pemandu perkhidmatan e-hailing membantu penghantaran dadah.
- Kedua-dua suspek direman tujuh hari hingga 17 April; kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Pontian, Supt Hadzrat Hussain, berkata kedua-dua suspek menaiki sebuah kereta dan dalam keadaan mencurigakan, ketika ditahan menerusi operasi tersebut.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan dadah dipercayai syabu jenis methamphetamine seberat 1,528 gram dengan nilai rampasan dianggarkan RM69,000,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, suspek lelaki berusia 36 tahun yang tidak bekerja dipercayai berperanan sebagai penghantar bekalan dadah dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing.
Katanya, suspek lelaki itu juga mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Sementara itu, suspek wanita berusia 43 tahun disyaki bertindak sebagai pemandu perkhidmatan berkenaan bagi membantu pergerakan penghantaran dadah.
Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 17 April depan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.