Pemotong sawit didakwa sebabkan kematian pelajar

Pemotong sawit warga Indonesia Sutiyono dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan, menyebabkan kematian dan kecederaan dua pelajar Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan, minggu lepas./BERNAMA

TELUK INTAN, 18 Mac – Seorang pemotong sawit warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan dua pelajar Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan, minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada pengakuan direkodkan kerana masalah pendengaran dan tidak memahami bahasa Melayu.
  • Dituduh menyebabkan kematian Adham Faisal, 18, dan mencederakan Muhammad Mu’ammar Ismail, 18.
  • Jaminan RM5,000 dengan dua penjamin, lesen dirampas sementara; sebutan semula 28 April untuk jurubahasa dan laporan bedah siasat.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Sutiyono, 39, berikutan lelaki itu mengalami masalah pendengaran selain tidak memahami bahasa Melayu dengan baik.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar, Adham Faisal, 18, yang sedang menunggang sebuah motosikal dalam kejadian di Lorong Haji Abdul Rashid, Kampung Selabak, jam 8.10 pagi pada 9 Mac lepas.

Bagi kesalahan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang lagi pelajar, Muhammad Mu’ammar Ismail, 18 tahun.

Sutiyono didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Lorong Haji Abdul Rashid Kampung Selabak di sini pada 8.10 pagi 9 Mac lepas.

Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM50,000 jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM15,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Darwis Aghniya Halim Azizi menawarkan jaminan RM8,000 dengan dua penjamin warga Malaysia bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan lesen memandu Sutiyono dirampas sehingga kes selesai.

Peguam S. Francis pula memohon agar jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan anak dan ibu bapa di Indonesia, hanya bekerja sebagai pemotong sawit serta mempunyai masalah pendengaran.

Majistret Naidatul Athirah Azman kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan dua penjamin iaitu seorang warga Malaysia dan majikan tertuduh, serta menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes bagi melantik jurubahasa isyarat, jurubahasa Indonesia selain mendapatkan laporan bedah siasat. – BERNAMA