Azizulhasni buktikan usia bukan penghalang

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menamatkan acara keirin pada Piala Dunia Berbasikal Trek UCI 2026 di Velodrom Nasional Nilai/Foto BERNAMA

NILAI, 25 April – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, melakar detik gemilang di laman sendiri apabila merangkul kejuaraan acara keirin lelaki pada Piala Dunia Berbasikal Trek UCI 2026 yang melabuhkan tirainya di Velodrom Nasional, di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Azizulhasni buktikan usia bukan penghalang; mentaliti juara jadi penentu untuk terus bersaing di peringkat tertinggi.
  • Kematangan hampir dua dekad membantunya meredakan tekanan berlumba di hadapan penyokong sendiri.
  • Strategi sabar sebelum pecut 80 meter terakhir membolehkan beliau memanfaatkan ruang dan menamatkan perlumbaan dengan tenaga maksimum.
  • Kejayaan lebih bermakna disaksikan keluarga dan sokongan peminat, beliau menitipkan terima kasih kepada semua penyokong.

Dalam perlumbaan akhir yang penuh dramatik, pelumba berusia 38 tahun itu membuktikan pengalaman luasnya sebagai sandaran utama apabila mencatatkan masa 10.082 saat,
sekali gus mengenepikan juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen, dengan perbezaan 0.040 saat.

Kejayaan tersebut disambut sorakan kira-kira 3,000 penyokong yang memenuhi stadium sebaik sahaja pelumba yang jolokan The Pocket Rocketman itu melintasi garisan penamat, sambil melakukan aksi ‘mini wheelie’ ikoniknya sebagai tanda kemenangan.

Lavreysen terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, manakala gangsa menjadi milik pelumba Trinidad dan Tobago, Nicholas Paul.

Sementara itu, mengulas mengenai kejayaannya, Azizulhasni mengakui tekanan beraksi di hadapan penyokong sendiri bukanlah satu tugas mudah, namun kematangan yang dibina selama hampir dua dekad di peringkat tertinggi membantunya meredakan situasi.

“Sampai sekarang saya seakan tidak percaya mampu melakukannya. Berlumba di tanah air sendiri menuntut kekuatan mental yang tinggi kerana harapan dan tekanan yang sangat besar.

“Namun, saya gunakan pengalaman hampir 20 tahun ini sebaik mungkin dengan mengambil pendekatan setapak demi setapak dalam setiap pusingan perlumbaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat.

Berkongsi strategi perlumbaannya, pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu menjelaskan kesabaran menjadi kunci utama sebelum beliau melakukan pecutan pada 80 meter terakhir.

“Saya perhatikan pergerakan di hadapan agak laju, jadi saya pilih untuk bersabar. Apabila melihat ruang di bahagian dalam pada selekoh terakhir, saya terus memecut sekuat hati.

“Memang mencabar, tetapi saya kerahkan segala sisa tenaga yang ada,” jelasnya.

Bagi Azizulhasni, kejayaan kali ini mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana disaksikan oleh ahli keluarga tercinta termasuk ibu, isteri, dan anak-anaknya.

“Malam ini sangat istimewa buat saya. Kehadiran keluarga di bangku penonton serta sokongan padu rakyat Malaysia membuatkan saya cukup terharu.

“Terima kasih kepada semua yang menjadi tulang belakang saya selama ini,” tambahnya.

Beliau juga sempat menitipkan pesanan bahawa usia bukan penghalang untuk terus bersaing di peringkat tertinggi, malah membuktikan mentaliti juara adalah penentu segalanya.

“Ramai yang seusia saya sudah menjadi jurulatih, tetapi saya mahu buktikan bahawa umur hanyalah angka. Yang penting adalah mentaliti dan keinginan untuk menang”, ujarnya.

Kejayaan di Nilai ini merupakan emas kedua Azizulhasni dalam siri Piala Dunia musim ini, selepas turut mengungguli acara sama di Perth, Australia, bulan lalu.