
KUALA LUMPUR, 25 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang selepas menghadiahkan pingat emas acara keirin pada Piala Dunia Berbasikal Trek UCI 2026 di Velodrom Nasional Nilai, hari ini.
- Perdana Menteri menzahirkan tahniah; rakyat Malaysia berbangga dengan kejayaan Azizulhasni Awang.
- Menteri Belia dan Sukan turut mengucapkan tahniah dan memuji semangat juang Azizulhasni sebagai lambang negara.
- Azizulhasni mengesahkan gelaran 'Raja Keirin' dengan persembahan bertenaga menewaskan pelumba elit dunia.
Menerusi hantaran di media sosial, Datuk Seri Anwar berkata kejayaan dilakar The Pocket Rocketman itu menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.
“Tahniah buat Datuk Azizulhasni Awang atas kejayaan gemilang merangkul emas acara keirin di Piala Dunia Berbasikal Trek UCI di bumi Malaysia. Rakyat Malaysia berbangga dengan kejayaan ini,” katanya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Azizulhasni Awang atas kejayaan berkenaan.
“The Pocket Rocketman terus mendunia! Tahniah Datuk Azizulhasni Awang atas kejayaan merangkul pingat emas. Datuk Jijoe bukan sekadar juara di trek, tetapi lambang semangat Malaysia yang tak pernah kenal erti mengalah. Teruskan mengharumkan nama negara! Malaysia is so proud of you!” katanya menerusi hantaran di Facebook malam Sabtu.
Pada perlumbaan final, jaguh berusia 38 tahun itu mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menamatkan saingan di kedudukan pertama sekali gus menghadiahkan emas berprestij buat negara.
Kejayaan itu menyaksikan Azizulhasni Awang sekali lagi membuktikan kehebatannya sebagai ‘Raja Keirin’ apabila menewaskan kelompok pelumba elit dunia untuk muncul juara di hadapan penyokong sendiri.
Pada perlumbaan final, jaguh berusia 38 tahun itu mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menamatkan saingan di kedudukan pertama sekali gus menghadiahkan emas berprestij buat negara.
Beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, beliau mempamerkan kayuhan luar biasa untuk mencatatkan masa 10.082 saat, sekali gus menafikan kehebatan juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen.
Kemenangan tersebut dirakam dalam suasana penuh dramatik The Pocket Rocketman, melintasi garisan penamat dengan perbezaan tipis hanya 0.040 saat di hadapan pencabar utamanya itu.