
KUALA LUMPUR, 25 April – Ruang komen media sosial dibanjiri ucapan tahniah dan kata-kata semangat daripada rakyat Malaysia susulan kejayaan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menjuarai acara keirin Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, malam ini.
- Pengguna media sosial meluahkan ucapan tahniah dan kebanggaan kepada Azizulhasni atas kejayaan beliau.
- Zahari.Zakaria dan ramai lain menegaskan usia bukan penghalang; semangat juang tetap tinggi.
- Pengalaman, komitmen dan kerja keras dipuji; ada cadangan beliau dipertimbangkan ke Olimpik 2028 dan ini kemenangan Piala Dunia kedua musim ini.
Rata-rata pengguna menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan The Pocket Rocketman yang sekali lagi mengharumkan nama negara.
Pengguna media sosial di Thread dikenali sebagai Zahari.Zakaria menyifatkan usia bukan penghalang untuk seseorang atlet terus memiliki semangat juang tinggi.
Effa.y pula berpendapat Azizulhasni Awang membuktikan saiz fizikal bukan halangan untuk berjaya, sebaliknya komitmen, kerja keras dan semangat tinggi menjadi kunci kejayaan.
Syazrin Ramlan menyifatkan pengalaman luas dimiliki jaguh berusia 38 tahun itu menjadi kelebihan utama apabila berjaya mengatur kayuhan bijak sebelum memintas lawan pada saat penting perlumbaan.
Seorang lagi pengguna, Azzad Yusof berpendapat faktor usia bukan halangan dan Azizulhasni Awang wajar dipertimbangkan untuk terus menggalas cabaran negara ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Kejayaan itu adalah kemenangan kedua Azizulhasni dalam siri Piala Dunia musim ini selepas menjuarai acara sama di Perth, Australia pada Mac lepas.