Piala Thomas: Zii Jia muncul penyelamat Malaysia elak aib di tangan England

Pemain badminton negara, Lee Zii Jia /BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 April – Lee Zii Jia muncul penyelamat skuad badminton lelaki negara apabila memastikan mata kemenangan buat Malaysia dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Piala Thomas 2026, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia menundukkan England 3-2 selepas perlawanan sengit.
  • Justin Hoh dan Aidil Sholeh tewas namun beregu utama dan kedua bangkit beri harapan.
  • Lee Zii Jia mengatasi Nadeem Dalvi 21-13, 21-11 untuk mata kemenangan Malaysia.

Dalam aksi yang berlangsung di Forum Horsens itu, Malaysia terpaksa bekerja keras sebelum berjaya menundukkan England dengan keputusan tipis 3-2.

Terdahulu, kem negara bermula goyah apabila perseorangan pertama negara, Justin Hoh, tewas kepada pemain ranking ke-62 dunia, Harry Huang, dalam aksi straight set yang berkesudahan 19-21, 19-21.

Gandingan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, kembali menghidupkan peluang apabila menyamakan kedudukan 1-1 selepas menewaskan Oliver Butler-Samuel Jones 21-19, 21-13.

England kemudian kembali di depan apabila perseorangan kedua negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin, dikejutkan oleh pemain ranking ke-153 dunia, Cholan Kayan. Aidil terpaksa akur dengan kekalahan 16-21, 15-21.

Tersentak dengan kekalahan itu, beregu kedua negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, mempamerkan aksi kemas untuk menundukkan Alex Green-Zach Russ 21-14, 21-14, sekali gus mengikat kedudukan 2-2.

Zii Jia yang tampil selaku pemain perseorangan ketiga negara ternyata berada dalam kelas tersendiri. Beliau menewaskan Nadeem Dalvi 21-13, 21-11 sekali gus memberikan mata kemenangan kepada Malaysia.

Malaysia bakal menentang Finland pada perlawanan kedua kumpulan pada Isnin sebelum bertemu Jepun sebelum menutup saingan peringkat kumpulan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.