Perlis terima peruntukan lebih RM660 juta menerusi RP1 RMK13

Foto BERNAMA

KANGAR, 3 Jun – Perlis menerima peruntukan berjumlah RM661.70 juta menerusi Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan prestasi perbelanjaan adalah sebanyak RM87.46 juta atau 13.22 peratus hingga April lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbelanjaan melibatkan pelaksanaan 354 projek di negeri.
  • Baginda menyeru percepatkan pelaksanaan projek supaya rakyat menikmati manfaat dalam tempoh munasabah.
  • Jabatan dan agensi diminta bertindak segera memastikan peruntukan dilaksanakan dengan cekap dan teratur.
  • Kecekapan pelaksanaan merancakkan ekonomi negeri, meningkatkan peluang pekerjaan, pendapatan dan perniagaan tempatan, mengelakkan pembaziran.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah perbelanjaan itu melibatkan pelaksanaan 354 projek.

“Di bawah Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Ke-12 (RP5 RMK12) negeri Perlis telah menerima peruntukan sebanyak RM632.56 juta melibatkan 188 projek. Daripada jumlah itu, sebanyak RM474.17 juta telah dibelanjakan, bersamaan 74.96 peratus pada tahun lalu,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan pembukaan penggal keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks Seri Putra di sini hari ini. Teks titah ucapan baginda dibacakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Berangkat sama Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah setiap projek pembangunan perlu dipercepat pelaksanaannya supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat dalam tempoh munasabah.

“Beta turut menyeru agar semua jabatan dan agensi yang telah diluluskan peruntukan supaya mengambil langkah segera dalam melaksanakan projek serta memastikan perbelanjaan dapat disalurkan dengan cekap dan teratur,” titah baginda.

Raja Perlis bertitah langkah itu amat penting bagi merancakkan aktiviti ekonomi negeri seterusnya membolehkan manfaat kitaran ekonomi dapat dirasai dengan lebih cepat oleh rakyat melalui peningkatan peluang pekerjaan, pendapatan serta aktiviti perniagaan tempatan.

Baginda bertitah kecekapan dalam pelaksanaan bukan sahaja meningkatkan keyakinan rakyat, malah memastikan sumber kewangan negeri dimanfaatkan secara optimum tanpa berlakunya pembaziran atau kelewatan tidak wajar.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.