
KANGAR, 3 Jun – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mahu Menteri Besar Abu Bakar Hamzah diberikan ruang untuk terus memimpin sehingga ke akhir penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 tanpa sebarang kacau ganggu.
- Kestabilan politik perlu dipelihara kerana mempengaruhi keyakinan pelabur dan pembangunan negeri.
- Ahli Dewan Undangan Negeri diingatkan mengetepikan ego serta memberi kerjasama berterusan demi kepentingan rakyat.
- Kerajaan negeri digalakkan mengekalkan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan untuk memperlancar agenda pembangunan.
Baginda bertitah kestabilan politik adalah kriteria sangat penting yang akan memberi kesan kepada keyakinan pelabur untuk melabur di negeri itu.
Justeru, Tuanku Syed Sirajuddin menyeru semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perlis mengetepikan ego masing-masing dan memberikan kerjasama erat serta berterusan kepada Abu Bakar bagi kepentingan rakyat dan negeri.
“Beta ingin mengingatkan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian bahawa kerajaan ini adalah kerajaan Beta. Justeru, Beta berharap agar Mamanda Menteri Besar diberikan ruang untuk terus memimpin sehingga ke akhir penggal DUN ke-15 tanpa sebarang kacau ganggu yang akan merencatkan segala perancangan yang telah dirangka.
“Setiap Ahli Yang Berhormat diingatkan untuk meletakkan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi,” titah baginda semasa merasmikan pembukaan penggal keempat persidangan DUN Perlis di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.
Teks titah ucapan baginda dibacakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah perbezaan fahaman politik tidak sewajarnya menjadi batasan atau penghalang kepada usaha ikhlas untuk membawa masuk pembangunan dan pelaburan ke negeri itu.
Dalam pada itu, Raja Perlis bertitah supaya kerajaan negeri sentiasa mengekalkan hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam aspek pembangunan serta pelbagai bentuk sokongan demi kepentingan rakyat Perlis.
“Beta menyambut baik siri lawatan dan kunjungan hormat yang dilaksanakan oleh Mamanda Menteri Besar ke atas pelbagai kementerian bagi mengeratkan kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Adalah menjadi harapan Beta agar usaha murni ini terus diperkasa dan dipelihara demi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan,” titah baginda.- BERNAMA