Pelajar kolej antara 11 individu didakwa merusuh depan sekolah

Gambar hiasan

GEORGE TOWN, 9 Sept – Seramai 11 lelaki termasuk seorang pelajar kolej mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan merusuh bersenjata, bulan lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Didakwa di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan berkaitan rusuhan dan pemilikan senjata pada 29 Ogos depan SJKC Kong Min Cawangan Kedua, Ayer Itam.
  • Tertuduh berusia antara 19 hingga 34 tahun.
  • Kesemua dibenarkan ikat jamin RM6,000 seorang dengan seorang penjamin; sebutan semula ditetapkan 19 Oktober.
  • Sebelum ini 23 lelaki ditahan dalam serbuan di Pulau Pinang dan Selangor berkaitan dua kumpulan Geng 04.

Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Noor Idayu Salim.

Kesemua tertuduh berusia antara 19 hingga 34 tahun.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara bersama-sama menyertai rusuhan serta memiliki benda yang boleh memudaratkan atau senjata maut yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan pada 29 Ogos lalu, kira-kira pukul 2:45 pagi di hadapan SJKC Kong Min Cawangan Kedua, Ayer Itam.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli.

Sepuluh tertuduh diwakili peguam K. Mahendran dan Sharmila Mogan, manakala seorang lagi tertuduh yang merupakan pelajar kolej diwakili peguam Edric Loo.

Setiap tertuduh kemudiannya dibenarkan diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Oktober depan.

Dalam kejadian pada 24 Ogos lalu, 23 lelaki ditahan menerusi beberapa siri serbuan di Pulau Pinang dan Selangor atas kesalahan rusuhan bersenjata membabitkan dua kumpulan Geng 04 di Ayer Itam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.