
IPOH, 9 Sept – Seorang peniaga dihukum penjara 30 tahun dan 24 sebatan selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengedar lebih 77 kilogram (kg) syabu, lima tahun lalu.
- Liew Wan Wah, 45, didakwa dan dihukum oleh Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed.
- Mahkamah menerima keterangan saksi pendakwaan dan mengambil kira jumlah dadah besar serta penemuan dalam ruang khas kenderaan.
- Didakwa mengedar 74,477.8g di Plaza Tol Gopeng (23 Jun 2021) dan 3,267g di parkir IPD Kampar (24 Jun 2021).
- Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952; pendakwaan oleh Yasinnisa Begam; tertuduh diwakili P. Ravee.
Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Liew Wan Wah, 45, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mahkamah menerima keterangan saksi pendakwaan selain mengambil kira jumlah dadah yang besar dan penemuannya di dalam ruang khas sebuah kenderaan.
Liew dihukum penjara 30 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan, dengan kedua-dua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak.
Bagi pertuduhan pertama, Liew didakwa mengedar 74,477.8 gram syabu di Plaza Tol Gopeng, Kampar, pada pukul 7:30 malam, 23 Jun 2021.
Dia turut didakwa mengedar 3,267 gram dadah sama di kawasan parkir di bawah Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar, pada pukul 2 pagi keesokan harinya.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasinnisa Begam Seeni Mohideen dengan Wan Wah diwakili peguam, P. Ravee
Pada 7 Januari lalu, Liew diperintah membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya, manakala Leong Hoi Aw, 52, dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.