
SEPANG, 7 Mei – Satu sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, dalam satu serbuan di Tanjung Sepat, Sepang.
- Operasi Op TIRIS 4.0 Bersepadu dilaksanakan hasil risikan sebulan dengan kerjasama Cawangan Khas IPK negeri.
- Dua lelaki bukan warganegara bawah 30 tahun ditahan ketika menjalankan aktiviti decanting LPG subsidi ke tong 50 kg komersial.
- Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961; KPDN tegas tidak berkompromi dan akan mempertingkatkan penguatkuasaan.
Serbuan menerusi Op TIRIS 4.0 Bersepadu itu dilakukan hasil risikan selama sebulan oleh pasukan KPDN dengan kerjasama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.
Pengarah KPDN Negeri, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, operasi dijalankan hasil risikan selama sebulan terhadap sebuah premis tanpa nombor di kawasan ladang kelapa sawit, Jalan Tok Mori.
Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki bukan warganegara berusia bawah 30 tahun sedang menjalankan aktiviti ‘decanting’, proses memindahkan LPG bersubsidi tong 14 kilogram ke tong gas komersial 50 kilogram.
Turut ditemukan, beberapa peralatan seperti hos penyambung, alat timbang dan beg plastik berisi ais yang dipercayai digunakan dalam proses pemindahan gas secara konvensional.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu/syar kat yang terlibat dalam aktiviti ini serta mengenalpasti rantaian pengedaran LPG terbabit.
KPDN Selangor menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini serta akan sentiasa menggerakkan anggota penguat kuasa mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan Op Tiris 4.0.