APMM Johor tumpas cubaan seludup minyak bernilai RM19.55 juta

Dua bot tunda ditahan dalam operasi khas

KOTA TINGGI, 7 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan minyak di perairan timur Johor menerusi satu operasi khas yang dijalankan Isnin lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan minyak, dua bot tunda dan peralatan dianggarkan bernilai RM19.55 juta.
  • Dua bot tunda ditahan bersama 10 kru warga Indonesia; kedua-dua bot berdaftar di Tanzania gagal melaporkan ketibaan.
  • Muatan minyak tiada dokumen sah, tangki diubah suai mencurigakan; kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, kru ditahan mengikut Akta Imigresen.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk minyak, bot tunda dan peralatan dianggarkan berjumlah RM19.55 juta.

Pemangku Pengarah Maritim Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, dua bot tunda ditahan dalam operasi tersebut bersama 10 kru lelaki warga Indonesia berusia antara 26 hingga 54 tahun.

Menurut beliau, bot pertama ditahan pada kedudukan kira-kira 1.5 batu nautika tenggara Tanjung Bulat, manakala bot kedua ditahan sekitar 3.0 batu nautika dari lokasi sama.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot yang berdaftar di Tanzania itu gagal melaporkan ketibaan kepada pihak berkuasa, sekali gus melanggar Kaedah 10 Peraturan-Peraturan Pelabuhan 1954.

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan muatan minyak yang tidak mempunyai dokumen kebenaran sah selain pengubahsuaian mencurigakan pada tangki bot yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyeludupan minyak,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, manakala kesemua kru ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/1963 untuk tindakan lanjut.