
ALOR SETAR, 7 Mei – Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemukan meninggal dunia berhampiran sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Padang, Tikam Batu, kira-kira pukul 11.08 pagi tadi.
- Mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Khalid @ Halim Salleh, 84 tahun.
- Ditemui selepas dipercayai terjatuh ke dalam tali air dan lemas.
- Operasi SAR bermula Ahad; orang awam maklumkan penemuan pada hari kelima dan bomba mengesahkan lokasi.
- Siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah; mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Fauzi Shuaib berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Khalid @ Halim Salleh, 84 tahun.
Menurut beliau, mangsa ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Kampung Masjid selepas dipercayai terjatuh ke dalam tali air dan lemas.
Operasi SAR dimulakan pada pagi Ahad sejurus menerima laporan kehilangan mangsa.
“Pada hari kelima operasi, pihak bomba menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan seorang lelaki di kawasan kampung sebelum pasukan ke lokasi untuk pengesahan,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Saravanan Shanmugam berkata, laporan kehilangan mangsa diterima pada 2 Mei lalu selepas warga emas terbabit keluar dari rumah dan tidak pulang.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian tersebut.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.