
DARO, 7 Mei – Siasatan dalaman telah dimulakan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) susulan insiden pelajar maut terkena renjatan elektrik ketika hendak mengambil wuduk di sebuah sekolah menengah di sini, pada malam Rabu.
- JPNS akan meneliti tahap pematuhan aspek keselamatan di sekolah berkenaan.
- Kawasan kejadian ditutup dan warga sekolah dilarang menghampiri sehingga disahkan selamat.
- Fokus kini memberikan bantuan terbaik kepada keluarga mangsa serta ucapan takziah dirakamkan.
- Seorang lagi pelajar cedera parah dan dirujuk ke ICU untuk rawatan lanjut.
Menurut kenyataan JPNS, siasatan akan meneliti tahap pematuhan aspek keselamatan di sekolah terbabit di samping siasatan diteruskan pihak berkuasa.
Jelasnya, kawasan kejadian telah ditutup dan murid, guru serta seluruh warga sekolah tidak dibenarkan menghampiri lokasi berkenaan sehingga keadaan disahkan benar-benar selamat.
Dalam pada itu, tumpuan utama pihaknya ketika ini adalah untuk memberikan bantuan terbaik kepada keluarga Allahyarham.
“Pihak kami menzahirkan rasa dukacita serta merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Fahrin Jumandy Abdullah yang meninggal dunia akibat insiden terbabit,” katanya.
JPNS mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta seluruh ahli keluarga diberikan ketabahan menghadapi ujian berkenaan.
Dalam kejadian berkenaan, pelajar Tingkatan Empat maut manakala seorang lagi pelajar Tingkatan Tiga cedera parah selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika hendak mengambil wuduk.
Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos berkata pihaknya menerima makluman daripada pihak sekolah mengenai kejadian itu kira-kira 8 malam.
“Mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan parah.
Katanya, mangsa dikejarkan ke Hospital Daro sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.