Rokok, minuman keras hampir RM4 juta dirampas Kastam P.Pinang

Foto BERNAMA

BUTTERWORTH, 7 Mei – Lebih 300,000 batang rokok serta 63,000 liter minuman keras bernilai hampir RM4 juta dirampas menerusi dua serbuan berasingan,di sekitar Seberang Perai, bulan lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua serbuan di Tasek Gelugor (22 April) dan Bukit Mertajam merampas rokok serta minuman keras dari gudang tidak berpenghuni.
  • Seorang lelaki tempatan lewat 30-an ditahan; rampasan bernilai keseluruhan dianggarkan RM3.68 juta termasuk duti dan cukai.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967; hukuman boleh sampai denda RM500,000 atau penjara 5 tahun.

Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang, Ramizah Bee Salleh Ghany, rampasan dibuat hasil maklumat risikan dan aduan awam.

Dalam serbuan pertama pada 22 April lalu di Tasek Gelugor, pihaknya berjaya merampas 242,640 batang rokok bernilai lebih RM263,000.

Seorang lelaki tempatan berusia lewat 30-an yang disyaki pemilik permis turut ditahan.

“Menerusi serbuan kedua di Bukit Mertajam pada dua hari berikutnya, lebih 130,000 batang rokok lagi dirampas. Turut ditemukan 63,674 liter minuman keras tidak berkastam di sebuah gudang tidak berpenghuni, yang kesemuanya bernilai lebih RM3 juta,” katanya.

Jelas beliau, semua barang kes disita untuk siasatan lanjut dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan berjumlah RM3.68 juta.

“Semua rokok dan minuman keras ini dipercayai untuk diedarkan ke pasaran tempatan. Kes masih dalam siasatan,” jelasnya ketika bercakap pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Kastam di Bagan Jermal, di sini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun, atau kedua-duanya sekali.