Penduduk Kemumin bimbang kejadian peluru sesat dari lapang sasar

RINGKASAN BERITA AI
  • Cermin beberapa rumah pecah dipercayai akibat peluru sesat dalam kejadian terbaharu.
  • Pekerja pembersihan menemui beberapa butir peluru; penduduk tidak sedar tahap bahaya sebelum kerosakan.
  • Ketua pengawal keselamatan bimbang keselamatan penduduk dan petugas, mohon lapang sasar ditutup sementara untuk siasatan polis.
  • Penduduk risau keselamatan kanak-kanak; minta pihak berwajib ambil tindakan segera kerana lapang sasar terlalu dekat.

KOTA BHARU, 7 Mei – Penduduk di sebuah taman perumahan di Kemumin dekat sini melahirkan kebimbangan susulan kejadian peluru sesat yang didakwa kerap berlaku di kawasan berkenaan sejak kebelakangan ini.

Seorang penduduk, Ahmad Hakimi Abdul Rahim berkata, peluru sesat itu dipercayai datang dari sebuah lapang sasar yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan perumahan mereka.

Menurut beliau, kejadian terbaharu berlaku kelmarin apabila beberapa cermin tingkap sebuah rumah penduduk pecah dipercayai terkena peluru sesat.

Katanya, sebelum ini pekerja pembersihan taman turut menemukan beberapa butir peluru di kawasan perumahan, namun penduduk tidak menyedari tahap bahaya kejadian tersebut sehingga berlaku kerosakan pada rumah penduduk.

“Kami rasa kurang senang dan bimbang dengan keadaan sekarang kerana berlaku kejadian peluru sesat. Kami juga risau keselamatan kanak-kanak yang bermain di taman berhampiran rumah.

“Sebelum ini kami tidak sedar perkara ini berbahaya sehinggalah berlaku kejadian cermin tingkap pecah akibat tembakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengawal Keselamatan kawasan berkenaan, Md Baharom Hussin berkata, kejadian tersebut amat membimbangkan kerana boleh mengancam keselamatan penduduk dan petugas keselamatan.

“Mujur peluru itu terkena cermin rumah penduduk. Jika terkena orang awam atau pengawal keselamatan, keadaannya mungkin lebih serius.

“Kami berharap kawasan ini dapat ditutup sementara sehingga polis selesai menjalankan siasatan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Nafiz Zali berkata, kejadian itu semakin menggusarkan penduduk kerana lapang sasar berkenaan terletak terlalu hampir dengan kawasan perumahan.

Beliau berharap pihak berwajib segera mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan penduduk sekitar terus terjamin.

“Kejadian peluru sesat ini amat membimbangkan dan saya berharap pihak berwajib mengambil perhatian serius kerana lapang sasar ini terlalu dekat dengan kawasan perumahan .

“Kebelakangan ini semakin banyak kejadian peluru sesat mengenai rumah penduduk,” katanya.