JPJ Johor rekod 71,320 kesalahan trafik dalam tempoh empat bulan

Pengarah JPJ Johor Zulkarnain Yasin

JOHOR BAHRU, 8 Mei -Sebanyak 71,320 kesalahan jalan raya direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Johor hasil pemeriksaan ke atas 341,917 kenderaan menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan yang dijalankan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesalahan tertinggi: LKM tamat tempoh, ketiadaan insurans, tiada Lesen Vokasional dan tiada Lesen Memandu Kompeten.
  • Motosikal rekod kesalahan tertinggi, diikuti kereta, kenderaan barangan dan kenderaan asing.
  • Operasi bersepadu tingkat persepsi boleh ditangkap; lebih 300 pegawai terlibat; JPJ jalankan operasi sekurang-kurangnya empat kali sebulan.

Pengarah JPJ Johor Zulkarnain Yasin berkata, daripada jumlah kenderaan yang diperiksa bermula Januari hingga 30 April lepas, sebanyak 40,539 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata motosikal mencatatkan angka tertinggi, iaitu sebanyak 17,424, diikuti kereta (12,436), kenderaan barangan (4,379), kenderaan asing (3,863), kenderaan barangan berat melebihi 7,500 kilogram (2,155) dan bas (282).

“Statistik menunjukkan kesalahan paling tinggi dikesan adalah melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh sebanyak 11,970 kes, diikuti ketiadaan insurans (9,983 kes), tiada Lesen Vokasional (1,532 kes) dan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) sebanyak 1,216 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelaksanaan Ops Satu Johor secara besar-besaran melibatkan seluruh daerah di negeri berkenaan di jalan susur Skudai-Pontian di sini, malam tadi.

Zulkarnain berkata, sebanyak 10,287 kes dikesan bagi sembilan kesalahan utama, antaranya meliputi kesalahan tali pinggang keledar, tidak memakai topi keledar, membawa lebih muatan, tidak mematuhi lampu isyarat merah, menggunakan lorong kecemasan dan memotong barisan secara berbahaya.

“Selain itu, sebanyak 15,715 kes direkodkan bagi kesalahan teknikal seperti nombor pendaftaran, iaitu sebanyak 5,360 kes, cermin gelap (1,875 kes), ubah suai kenderaan (718 kes), tayar celup (204 kes) dan lain-lain kesalahan teknikal (7,558 kes). JPJ turut merekodkan 9,137 kes lagi melibatkan pelbagai kategori kesalahan lain,” katanya.

Zulkarnain ketika mengulas mengenai operasi bersepadu yang dijalankan malam ini berkata ia bertujuan meningkatkan tahap persepsi boleh ditangkap (POBC) dalam kalangan pengguna jalan raya bagi menurunkan kadar kemalangan.

Operasi itu melibatkan kekuatan lebih 300 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Bagi operasi malam ini sahaja, sebanyak 9,356 kenderaan diperiksa dan 1,896 daripadanya telah diambil tindakan melibatkan 2,824 kesalahan manakala 2,450 saman dikeluarkan,” katanya.

Antara kesalahan utama yang dikesan dalam operasi itu adalah tiada lesen memandu (510 kes), LKM tamat tempoh (384 kes), insurans tamat tempoh (372 kes) serta penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (432 kes).

Zulkarnain berkata JPJ Johor akan meneruskan operasi berkala seperti itu sekurang-kurangnya empat kali sebulan bagi memastikan kelestarian keselamatan jalan raya di negeri itu. – BERNAMA