Tiada unsur buli dalam kes pelajar jatuh bumbung sekolah

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit/ BERNAMA 

MELAKA, 8 Mei – Tiada unsur buli dilaporkan dalam kejadian membabitkan pelajar 11 tahun terjatuh dari bumbung di sebuah sekolah rendah di Batu Berendam, 6 Mei lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.40 tengah hari semasa pertukaran kelas.
  • Murid dipercayai membaling kasut rakan hingga tersangkut di bumbung, kemudian memanjat untuk mengambilnya.
  • Bahagian bumbung yang dipijak patah menyebabkan mangsa jatuh; sekolah beri rawatan awal, kemudian dihantar ke hospital pakar.
  • Polis menasihatkan orang ramai jangan buat spekulasi atau sebar maklumat tidak benar yang mengganggu siasatan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.40 tengah hari ketika pertukaran kelas.

Beliau berkata siasatan awal mendapati murid berkenaan dipercayai bertindak membaling kasut rakannya sehingga tersangkut di atas bumbung garaj basikal sebelum cuba mengambilnya semula dengan memanjat bumbung berkenaan.

“Semasa cuba naik semula ke tingkat satu, bahagian bumbung yang dipijak patah, menyebabkan mangsa jatuh dan cedera di kaki kanan”, katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pihak sekolah memberi rawatan awal sebelum mangsa dibawa ke Hospital Melaka dan dipindahkan ke Hospital Pakar Putra.

Siasatan polis mengesahkan tiada unsur buli atau penganiayaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak benar yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat atau mengganggu siasatan.