
SHAH ALAM, 8 Mei – Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah antarabangsa menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan sebuah premis kediaman di Kota Warisan, Sepang hujung bulan lalu.
- Rampasan bunga ganja seberat 156.7 kilogram bernilai RM12.6 juta.
- Tujuh warga asing ditahan, enam lelaki dan seorang wanita, usia 18 hingga 27 tahun.
- Suspek bertindak sebagai keldai dadah, dijanjikan bayaran lumayan dan menggunakan pas lawatan sosial.
- Jumlah rampasan mampu menampung sehingga 523,000 pengguna; orang ramai diingatkan jangan jadi keldai dadah.
Dalam operasi pada 28 dan 30 April itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA serta Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA merampas dadah jenis bunga ganja seberat 156.7 kilogram bernilai RM12.6 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, seramai tujuh suspek warga asing terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 hingga 27 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Siasatan mendapati sindiket terbabit dipercayai membawa masuk bekalan bunga ganja dari negara jiran sebelum menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit sementara untuk menyeludup dadah itu ke pasaran Eropah.
“Suspek yang bertindak sebagai keldai dadah mengaku dijanjikan bayaran lumayan oleh sindiket bagi membawa bagasi mengandungi dadah ke destinasi ditetapkan tanpa mendedahkan rangkaian sebenar dalang utama,” katanya.
Dalam serbuan pertama pada 28 April lalu, polis menahan empat suspek di sekitar terminal KLIA selepas mengesan empat bagasi mencurigakan ketika melalui mesin imbasan bagasi.
Hasil pemeriksaan menemukan 64 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki bunga ganja seberat 67.2 kilogram dengan nilai rampasan dianggarkan RM5.4 juta.
Polis turut menyita wang tunai RM580, mata wang asing 20 Euro serta sebuah jam tangan jenama Audemars Piguet bernilai kira-kira RM80,000.
Datuk Shazeli turut memaklumkan, saringan air kencing mendapati tiga daripada empat suspek positif dadah jenis THC.
Dalam serbuan kedua pada 30 April pula, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 20 tahun di sekitar KLIA selepas mengesan dua bagasi mencurigakan.
Pemeriksaan ke atas bagasi itu menemukan 59 bungkusan plastik mengandungi bunga ganja seberat 29.5 kilogram dengan nilai rampasan RM2.4 juta.
Suspek didapati positif THC dan direman selama 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Susulan maklumat risikan daripada serbuan kedua, polis melancarkan serbuan ketiga di sebuah premis kediaman di Kota Warisan, Sepang dan menahan dua lagi lelaki warga asing berusia 19 dan 25 tahun.
“Pemeriksaan di premis berkenaan menemukan empat bagasi mengandungi 109 bungkusan plastik berisi ketulan mampat disyaki bunga ganja seberat 60 kilogram bernilai RM4.8 juta,” jelasnya.
Kedua-dua suspek didapati positif THC dan direman tujuh hari untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Keseluruhan rampasan bunga ganja itu dianggarkan mampu menampung penggunaan sehingga 523,000 pengguna berdasarkan anggaran 0.3 gram bagi setiap individu.
Polis turut mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan di Malaysia dan menggunakan pas lawatan sosial bagi menjalankan kegiatan pengedaran dadah di negara ini.
Orang ramai diingatkan agar tidak menjadi keldai dadah dengan menerima tawaran membawa bagasi atau barangan milik pihak lain tanpa mengetahui kandungannya.