
BATU PAHAT, 8 Mei – Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan, Selasa lalu.
- Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung kematian seorang murid perempuan.
- Mangsa, Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8 tahun, dilanggar van yang keluar dari kawasan sekolah selepas menghantar barang.
- Mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan organ dalaman serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
- Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin; syarat lapor diri polis dan lesen digantung; sebutan 25 Jun.
Tertuduh, Nordin Ithnin, 61 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah memandu sebuah van dengan melulu dan menyebabkan kematian Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8 tahun yang menggunakan jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Seri Maimon Parit Sulong, Batu Pahat pada pukul 12.30 tengah hari, 5 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Tan Song Yan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran dan lesen digantung dari tarikh dituduh.
Kes bakal disebut semula pada 25 Jun.
Dalam kejadian Selasa lalu, siasatan awal mendapati mangsa dilanggar van yang sedang bergerak keluar dari kawasan sekolah melalui pintu pagar utama menuju ke Jalan Simpang Lima-Parit Sulong selepas selesai menghantar barang.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan organ dalaman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.