MBAS kompaun premis industri binaan jalankan perniagaan tanpa lesen

MBAS kompaun premis industri binaan jalankan perniagaan tanpa lesen.

ALOR SETAR, 8 MEI – Sebuah premis industri binaan di Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah dikompaun kerana menjalankan perniagaan membancuh konkrit siap tanpa lesen dan
menjalankan pejabat pengurusan tanpa lesen dari Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

RINGKASAN BERITA AI
  • MBAS menjalankan pemeriksaan diketuai Datuk Bandar susulan aduan bunyi dan pencemaran udara penduduk sekitar.
  • Pemeriksaan mendapati premis melanggar Undang Kecil Pelesenan Premis Perniagaan dan Tred perlu memohon Kebenaran Merancang.
  • MBAS tidak akan berkompromi; tindakan tegas akan diambil bagi memastikan pembangunan bandaraya teratur, selamat dan mampan.

Ia hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh MBAS diketuai oleh Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya, susulan aduan daripada penduduk sekitar berkaitan kacau ganggu bunyi dan pencemaran udara yang didakwa berpunca daripada premis terbabit.

Hasil pemeriksaan mendapati, premis berkenaan melakukan dua kesalahan dibawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Premis Perniagaan dan Tred iaitu menjalankan perniagaan membancuh konkrit siap tanpa lesen dari MBAS dan menjalankan pejabat pengurusan tanpa lesen dari MBAS.

Tegas Datuk Abdul Gafar, semua premis dan perniagaan di sekitar Alor Setar wajib mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang serta mendapatkan kelulusan berkaitan sebelum sesuatu operasi atau pembangunan dijalankan.

Tambahnya, “Kita mohon kepada semua pihak khususnya yang membangunkan industri yang sebegini dalam bandaraya, sepanjang Hutan Kampung ni pun banyak lagi, kita minta termasuk semua kawasan dalam bandaraya kena memohon kebenaran merancang mengikut undang-undang, dan MBAS akan memastikan supaya pelaksanaan undang-undang ini dilaksanakan”

Jelas Datuk Abdul Gafar, sebarang kegagalan mematuhi syarat dan peruntukkan undang-undang boleh menjejaskan aspek keselamatan, kesejahteraan awam serta perancangan bandar yang tersusun.

MBAS katanya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang ingkar atau menjalankan operasi tanpa kelulusan.

Tindakan tegas akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa demi memastikan pembangunan bandaraya Alor Setar terus teratur, selamat dan mampan.