
LIPIS, 17 September – Enam lelaki warga Myanmar ditahan, manakala tujuh jentera bernilai RM1.22 juta dirampas dalam serbuan Op Bersepadu Khazanah di kawasan Sungai Lik, Mukim Cheka di sini, pada Rabu.
- Lelaki ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri semasa pemeriksaan.
- Beberapa jentera berat termasuk jengkaut, lima lori dumper dan wheel loader disita di lokasi operasi.
- Aktiviti mengorek tanah didapati tiada lesen atau kebenaran pihak berkuasa; kes disiasat di bawah Kanun Tanah dan Akta Imigresen.
Serbuan pukul 2.30 petang itu dijalankan Cawangan Risik Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Lipis.
Kesemua lelaki berusia antara 22 hingga 39 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan dijalankan.
Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa merampas sebuah jengkaut (excavator) bernilai RM270,000, lima lori pasir jenis dumper bernilai RM750,000 dan sebuah jentera pemuat (wheel loader) dianggarkan bernilai RM200,000.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, siasatan awal mendapati aktiviti mengorek dan memindah tanah di lokasi berkenaan tidak mempunyai lesen serta kebenaran sah daripada pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri Pahang.
“UPNP kemudian membuat sitaan serta menghentikan serta-merta operasi di lokasi dan terhadap semua jentera terbabit sehingga siasatan lengkap dijalankan.
“Kesemua tangkapan diserahkan kepada BSJD IPD Kuala Lipis untuk tindakan lanjut, manakala barang rampasan diserahkan kepada UPNP,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 426(1) Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.