
ALOR SETAR, 25 Mei – Seorang ejen hartanah yang ditahan kerana mencederakan seorang wanita yang juga ibu tunggal hingga parah pada 17 Mei lalu dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, esok (Selasa).
- Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, cubaan membunuh; hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan jika sabit.
- Mangsa, ibu tunggal berusia 35 tahun, ditikam pada leher oleh seorang lelaki dikenali ketika berada dalam keretanya di hadapan restoran Jalan Titi Gajah, Kepala Batas.
- Suspek melarikan diri tetapi ditangkap di kawasan Masjid Taman Uda kurang lima jam selepas kejadian.
Tertuduh yang berusia 32 tahun akan didakwa bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali dalam pemakluman ringkas kepada media, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam 17 Mei lalu, wanita berusia 35 tahun itu cedera pada bahagian leher selepas dipercayai ditikam oleh suspek lelaki yang dikenalinya di dalam kereta milik mangsa di hadapan sebuah restoran di jalan Titi Gajah, Kepala Batas, di sini.
Mangsa yang berada di tempat duduk pemandu dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam pada bahagian kiri leher sehingga menembusi bahagian kanan leher.
Suspek yang melarikan diri berjaya diberkas di kawasan masjid Taman Uda dalam tempoh kurang lima jam selepas kejadian.