
KOTA BHARU, 12 Mei – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang gadis.
- Mayat Nurfisya ditemui di tepi jalan; forensik sahkan 61 kesan tikaman, majoriti pada bahagian kanan badan.
- Muhammad Hazim didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun, atau sekurang-kurangnya 12 sebatan.
- Pendakwaan mohon masa untuk laporan pakar; mahkamah tetapkan 2 Julai untuk sebutan semula; empat ditahan, dua warga emas dibebaskan jaminan.
Tertuduh, Muhammad Hazim Muhammad, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Hazim didakwa menyebabkan kematian Nurfisya Zulkifly, 19 tahun antara jam 11.40 malam, 30 April hingga 12.20 tengah malam, 1 Mei lalu di Jalan Pengkalan Piah, Ketereh.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun.
Jika tidak dijatuhi hukuman mati, boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Wan Azimah Yaacob bersama dua Timbalan Pendakwa Raya, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Alias Ibrahim.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan memohon tarikh baharu bagi mendapatkan beberapa laporan pakar.
Mahkamah kemudian menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula dan pengurusan kes.
Dalam kejadian pada 1 Mei lalu, mayat Nurfisya ditemukan di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pemeriksaan forensik mendapati mangsa mengalami 61 kesan tikaman pada tubuh badan, dari bahagian muka hingga kaki, dengan kebanyakan kecederaan tertumpu di bahagian kanan badan.
Susulan kes itu, empat individu termasuk pasangan suami isteri warga emas ditahan reman bermula 2 Mei bagi membantu siasatan.
Namun, pasangan berusia 66 dan 60 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis pada 3 Mei lalu.