Eksekutif minta suapan direman

Seorang eksekutif kanan sebuah agensi kerajaan direman kes terima suapan.

KUANTAN, 12 Mei – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan reman seorang Eksekutif Kanan Binaan sebuah agensi kerajaan disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM8,000.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suapan dipercayai bagi mendapatkan kontrak, meluluskan penilaian kerja, mengeluarkan perakuan siap dan mempercepat tuntutan bayaran pada 2024.
  • Perintah reman tujuh hari sehingga 18 Mei dikeluarkan Majistret Tengku Eliana selepas permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan.
  • Suspek hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pahang kira-kira pukul 4 petang.
  • Siasatan awal mendapati wang dipindah ke akaun peribadi; kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Wang suapan itu dipercayai diterima sebagai balasan membantu mendapatkan kontrak, meluluskan penilaian kerja, mengeluarkan perakuan siap kerja serta mempercepatkan proses tuntutan bayaran melibatkan sebuah syarikat binaan dan syarikat kontraktor pada tahun 2024.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 18 Mei dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan pagi tadi.

Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pahang.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menerima wang rasuah menerusi pemindahan wang ke akaun bank peribadinya daripada syarikat terlibat.

Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud mengesahkan penahanan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.