
PUTRAJAYA, 13 Ogos- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar taktik sindiket pemalsuan dan pengubahsuaian pasport bagi membolehkan warga asing yang mempunyai masalah kesihatan menggunakan individu lain untuk menjalani saringan pemeriksaan kesihatan pekerja asing (FOMEMA).
- Sindiket mengenakan bayaran RM200 hingga RM300 bagi setiap pasport yang dipalsukan.
- Operasi khas di Taman Wahyu, Kampung Batu menahan dua lelaki warga Bangladesh.
- JIM menyita beberapa pasport palsu dan bahan pemalsuan termasuk 700 helaian muka surat dan 300 kulit pasport.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata sindiket berkenaan mengenakan bayaran antara RM200 hingga RM300 bagi setiap pasport yang dipalsukan.
Beliau berkata sindiket itu menyasarkan warga asing di sekitar Lembah Klang yang mempunyai masalah kesihatan bagi membolehkan individu lain menggantikan mereka menjalani saringan pemeriksaan kesihatan.
“Warga asing yang mempunyai masalah kesihatan dan berdepan kesukaran untuk memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) akan mendapatkan khidmat sindiket ini untuk memalsukan pasport.
“Selepas itu, individu lain yang sihat akan menggunakan pasport berkenaan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi pihak mereka,” katanya pada sidang media Operasi Khas JIM di sini, hari ini.
Sindiket itu ditumpaskan dalam operasi khas pada Rabu di dua lokasi di Taman Wahyu, Kampung Batu, Kuala Lumpur, hasil risikan JIM selama seminggu.
Operasi yang bermula 11.30 pagi itu membabitkan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat JIM Putrajaya yang membawa kepada penahanan dua lelaki warga Bangladesh berusia antara 29 dan 32 tahun.
Datuk Zakaria berkata tangkapan itu susulan penahanan tiga lelaki warga Indonesia pada 5 Ogos lepas berkaitan kegiatan pemalsuan dan pengubahsuaian pasport.
JIM turut menyita dua pasport Bangladesh, sembilan naskhah pasport Bangladesh yang dipercayai palsu, 700 helaian muka surat dan 300 kulit pasport pelbagai negara yang dipercayai untuk tujuan pemalsuan.
Beliau berkata tangkapan terbaharu itu merupakan siri keenam membabitkan sindiket yang menggunakan modus operandi sama.