Doku sambung kontrak lima tahun bersama Manchester City

Foto REUTERS

LONDON, 13 Ogos – Pemain sayap Manchester City, Jeremy Doku, menandatangani lanjutan kontrak selama lima tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Doku berkembang menjadi antara penyerang paling dinamik di Liga Perdana sejak menyertai City dari Rennes pada 2023.
  • Beliau menjaringkan 22 gol dan 34 bantuan dalam 131 penampilan, membantu memenangi Liga Perdana, Piala Dunia Kelab, Piala FA dan Piala Liga.
  • Dia mempunyai 48 penampilan bersama Belgium dan beraksi pada Piala Dunia baru-baru ini.
  • Kesediaannya kekal hingga sekurang-kurangnya 2031 memberi suntikan kepada pengurus baharu Enzo Maresca menjelang musim baru.

Doku berkembang menjadi antara penyerang paling dinamik dalam Liga Perdana sejak menyertai City dari kelab Perancis, Rennes pada 2023.

Pemain berusia 24 tahun itu telah menjaringkan 22 gol dan menghasilkan 34 bantuan gol dalam 131 penampilan bersama City, selain membantu kelab itu memenangi Liga Perdana Inggeris, Piala Dunia Kelab, Piala FA dan Piala Liga.

Doku turut mempunyai 48 penampilan bersama skuad kebangsaan Belgium dan beraksi untuk negaranya pada Piala Dunia yang berlangsung baru-baru ini.

Kesediaan Doku untuk kekal di Manchester sehingga sekurang-kurangnya 2031 memberikan suntikan besar kepada pengurus baharu City, Enzo Maresca, menjelang kempen Liga Perdana yang akan bermula pada 21 Ogos.

Doku berkata, corak permainan pengendali dari Itali itu menjadi antara faktor penting yang mendorongnya untuk terus bersama City dalam tempoh jangka panjang.

“Saya sangat menikmati masa saya di City setakat ini, jadi peluang untuk kekal lebih lama adalah satu perasaan yang luar biasa.

“Kelab ini amat bermakna bagi saya. Saya berkembang sebagai pemain dan juga sebagai individu. Saya berasa selesa di Etihad dan saya tahu saya semakin baik setiap hari hasil kerja keras kakitangan di kelab ini.

“Dengan Enzo kini bersama pasukan, saya sangat teruja menghadapi musim baharu. Corak permainan yang diterapkannya adalah jenis bola sepak yang kami gemari, jadi itu sesuatu yang sangat mengujakan buat pemain,” kata Doku.

Pengarah bola sepak City, Hugo Viana, berkata Doku merupakan pemain berbakat besar yang menunjukkan perkembangan ketara sejak menyertai kelab itu pada 2023.

“Doku adalah bakat yang luar biasa dan peningkatannya sejak menyertai kami pada 2023 jelas dapat dilihat semua pihak.

“Dia mempunyai dinamik tersendiri dan ciri-ciri yang tepat seperti apa yang kami cari dalam diri seorang pemain sayap. Dia benar-benar membawa kualiti istimewa kepada pasukan kami.

“Dia layak menerima kontrak baharu ini dan saya yakin dia akan terus berkembang dalam beberapa bulan serta tahun akan datang,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.