
KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil langkah strategik menerusi penubuhan Jawatankuasa Audit Penilaian Prestasi bagi memastikan impian Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2027 dan naib juara Sukan Para ASEAN 2027 menjadi kenyataan.
- Pakar luar dilibatkan menilai dan memperbaiki pelaksanaan latihan atlet di MSN dan ISN merangkumi Fasa 1 hingga Fasa 3.
- Jawatankuasa bebas dipengerusikan Datuk Marina Chin, disokong ahli akademik, perubatan dan psikologi sukan termasuk Prof Md Amin, Prof Raja Firhad, Dr Eliza, Dr Arshad.
- Panel jalankan sesi libat urus mendalam dengan jurulatih dan atlet serta pemantauan berterusan untuk beri sokongan menyeluruh menghadapi persaingan kuat Thailand dan Indonesia.
Inisiatif berkenaan membabitkan penglibatan pakar luar untuk menilai serta menambah baik pelaksanaan program latihan atlet di bawah MSN dan Institut Sukan Negara (ISN), merangkumi keseluruhan Fasa 1 hingga Fasa 3.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata pelantikan jawatankuasa bebas itu penting bagi memberikan perspektif baharu terhadap sistem persediaan atlet negara.
“Sebagai pihak yang melaksanakan program latihan, kita perlukan input daripada luar untuk memberikan cadangan selain daripada apa yang kita fikir atau laksanakan selama ini.
“Menerusi proses ini, kita berharap dapat memastikan jurulatih dan atlet diberikan sokongan terbaik secara keseluruhan, sekali gus membolehkan mereka memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap persediaan dan prestasi menjelang Sukan SEA serta Sukan Para ASEAN 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa berkenaan di ibu pejabat MSN, hari ini.
Dalam mesyuarat itu, tokoh sukan negara Datuk Marina Chin dinamakan sebagai Pengerusi Jawatankuasa, yang turut disertai beberapa panel dalam bidang akademik, perubatan dan psikologi sukan.
Panel berkenaan akan menjalankan sesi libat urus secara mendalam bersama jurulatih serta atlet di pusat latihan sepanjang pelaksanaan program.
Jefri berkata barisan keanggotaan jawatankuasa itu turut diperkukuh dengan pelantikan Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, Prof. Dr. Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, Dr. Eliza Hafiz dan Dr. Arshad Puji.
Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah pakar psikologi sukan Prof. Dr. Garry Kuan Pei Ern serta bekas legenda skuasy negara, Sharon Wee Ee Lin.
Menurut Jefri, penubuhan jawatankuasa berkenaan merupakan sebahagian daripada persiapan rapi Malaysia sebagai tuan rumah bagi menghadapi persaingan sengit daripada kuasa sukan serantau.
Katanya, sasaran untuk muncul juara keseluruhan bukan sesuatu yang mudah kerana Thailand dan Indonesia dijangka menjadi pencabar utama.
“Ini merupakan usaha berterusan bagi memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai. Bukan mudah untuk bergelar juara kerana umum sedia maklum Thailand dan Indonesia akan menjadi pencabar utama.
“Mereka turut membuat persiapan rapi, manakala kita perlu mempertingkatkan persediaan supaya sasaran juara keseluruhan Sukan SEA serta naib juara Sukan Para ASEAN dapat direalisasikan,” katanya.
Melalui pemantauan berterusan jawatankuasa berkenaan, MSN berharap jurulatih dan atlet negara mendapat sokongan menyeluruh serta berada pada tahap persiapan terbaik bagi menggalas cabaran dan mempertahankan maruah sukan negara di pentas serantau.