Sukan Asia : Shahmalarani pasang tekad tumbangkan jaguh dunia

C. Shahmalarani

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Ratu karate negara, C Shahmalarani tekad memasang impian untuk menumbangkan jaguh dunia pada pada Sukan Asia Aichi-Nagoya, pada September depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kualiti saingan Asia setanding kejohanan dunia, dengan empat juara dunia dalam kategori beliau.
  • Dia bersedia hadapi cabaran, menyasarkan menewaskan lawan paling kuat untuk berada di podium.
  • Lebih matang sejak Hangzhou 2022, kini lebih baik mengawal tekanan sambil memikul harapan negara.

Menurut Shahmalarani, cabaran di Aichi-Nagoya amat sengit memandangkan kategori itu turut dibarisi empat juara dunia yang juga merupakan pencabar utama dari benua Asia.

“Untuk berada di podium dan menjadi antara pemenang terbaik, saya perlu menewaskan atlet terbaik dan saya bersedia untuk cabaran itu.

“Saya tidak mengharapkan laluan yang mudah, sebaliknya menyasarkan untuk menewaskan lawan paling kuat dalam kategori saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada lawatan Chef de Mission (CDM) Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan ke pusat latihan di ibu negara baru-baru ini sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Mengulas lanjut, beliau berkata kualiti saingan di peringkat Asia kini setanding dengan kejohanan dunia.

“Menang di peringkat Asia ketika ini boleh dianggap seperti memenangi gelaran dunia, ia cabaran yang amat besar, apatah lagi dalam kategori saya terdapat empat juara dunia,” tambah beliau.

Menjelang penampilan kedua di pentas Sukan Asia, atlet berusia 28 tahun itu mengakui dirinya kini lebih matang dalam mengendalikan tekanan berbanding penampilan sulung di Hangzhou 2022.

Pengalaman lalu sebagai pengajaran berharga untuk mengimbangi harapan tinggi negara dengan prestasi di gelanggang.

“Sebagai penampilan pertama dahulu, saya masih tercari-cari cara mengendalikan tekanan. Namun kini, saya percaya saya lebih matang untuk menghadapinya dengan lebih baik.

“Saya membawa harapan negara, dan saya harap dapat memberikan yang terbaik apabila melangkah ke gelanggang nanti,” tambahnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.