Pasukan besbol wanita perkukuh kedudukan di peringkat global

Program Klinik Sukan Selamat, Pasukan Wanita di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang

SERDANG, 13 Ogos – Pasukan besbol wanita negara kini dalam misi memperkukuh kedudukan di peringkat global menerusi strategi pembangunan akar umbi yang komprehensif serta penekanan terhadap aspek kebajikan atlet.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus pembinaan akar umbi dengan pasukan awal U-10, U-12 dan U-14 untuk memastikan kesinambungan bakat ke skuad senior.
  • Penekanan kepada kebajikan dan persekitaran sukan kondusif melalui Program Sukan Selamat dan pencegahan kecederaan untuk atlet wanita.
  • Penglibatan pakar antarabangsa Po-Chun Sophiyah Liu memberikan pendedahan profesional kepada atlet dan jurulatih tempatan.

Menurut Presiden Persekutuan Besbol Malaysia (BFM), Sazali Husain, langkah itu selaras dengan usaha persatuan untuk memperbaiki kedudukan dunia, susulan Malaysia kini berada di kedudukan ke-21.

Tumpuan kini diberikan kepada penyediaan pasukan seawal usia 10 tahun bagi memastikan kelangsungan bakat yang berkualiti untuk skuad senior pada masa hadapan.

“Kita terpaksa menyediakan pasukan akar umbi. Kalau kita lihat, kita dah mula dengan kategori bawah 10 tahun (U-10) dan akan menyusul pasukan U-12 serta U-14.

“Semua pasukan besbol wanita ini sedang dipersiapkan untuk bertanding di peringkat akar umbi agar mereka mendapat pendedahan secukupnya sebelum ke peringkat senior,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Program Klinik Sukan Selamat, Pasukan Wanita di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

Selain aspek teknikal, BFM turut menitikberatkan persekitaran sukan yang kondusif menerusi Program Sukan Selamat dan pencegahan kecederaan khusus buat atlet wanita.

Program tersebut turut mendapat sentuhan pakar antarabangsa dari Taiwan, Po-Chun Sophiyah Liu, yang merupakan antara 19 personaliti berpengaruh dalam arena sukan wanita dunia.

Kehadiran Po-Chun Sophiyah Liu bertujuan memberi pendedahan terperinci kepada atlet dan jurulatih tempatan mengenai amalan sukan yang selamat dan profesional.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.