
KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Pendedahan laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) berkaitan pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) menerima reaksi positif dalam kalangan pendeposit institusi itu.
- Pendeposit mahu pemantauan pengurusan dan dana Tabung Haji dilaksanakan dengan lebih telus dan berintegriti.
- Cadangan tubuh badan bebas tanpa penglibatan politik atau kerajaan untuk memantau pengurusan dan dana Tabung Haji.
- Permintaan agar satu pasukan siasatan khas berintegriti tinggi menyiasat pihak terlibat demi memastikan simpanan pendeposit terjamin.
- Pendeposit lihat RCI bantu kenal pasti kelemahan, pulihkan imej dan tingkatkan keyakinan supaya Tabung Haji dapat buat pembaharuan.
Rata-rata pendeposit yang ditemui RTM mahu pemantauan terhadap pengurusan dan dana TH dilaksanakan secara lebih telus dan berintegriti.
Seorang pendeposit, Liyana Aris berharap satu badan bebas yang tidak melibatkan ahli politik atau kerajaan dapat diwujudkan untuk memantau pengurusan dan dana kewangan Tabung Haji.
“Jika pengurusan kewangan dilaksanakan dengan telus, kita sebagai pendeposit akan lebih yakin dengan pihak pengurusan Tabung Haji dan kembali menyimpan di institusi itu,” katanya.
Sementara itu, Siti Mahfuzah Sahul Hamid berkata, satu pasukan khas yang mempunyai integriti tinggi menjalankan siasatan terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
“Saya juga mahu Tabung Haji diurus dengan cekap dan berkesan supaya simpanan lebih 10 juta pendeposit terjamin. Pada masa sama, imej Tabung Haji perlu dipulihkan kerana ia melibatkan masa depan rakyat,” katanya.
Bagi Mohammad Ridzwan Dollah, pendedahan RCI dilihat mampu meningkatkan semula keyakinan pendeposit terhadap TH kerana institusi itu kini mempunyai peluang untuk melakukan perubahan ke arah pengurusan yang lebih baik.
“Apabila perkara sebenar didedahkan melalui RCI, ia sebenarnya memberikan lebih kepercayaan kepada Tabung Haji selepas ini kerana menunjukkan institusi itu mahu melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.
“Saya berharap Tabung Haji mengambil semua langkah yang sepatutnya bagi mengelakkan perkara sama berulang. Pada masa sama, pemilihan kepimpinan Tabung Haji perlu diteliti supaya tidak berlaku lagi penyalahgunaan kuasa atau tindakan yang boleh memberi implikasi kewangan kepada pendeposit,” katanya.
Sementara itu, Noorshafik Othman berkata pelaksanaan RCI dapat membantu TH mengenal pasti kelemahan dalam pengurusan dan seterusnya memperbaiki aspek yang perlu.
“Mungkin sebelum ini ada pendeposit yang hilang kepercayaan, namun dengan adanya RCI, Tabung Haji dapat mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki.
“Sebagai pendeposit, kita mahu memastikan wang kita selamat dan diurus dengan baik. Saya berharap RCI ini dapat membantu meningkatkan semula keyakinan pendeposit terhadap Tabung Haji supaya mereka terus menyimpan di institusi itu,” katanya.