
KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Pelaksanaan Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) di setiap kementerian perlu disegerakan sebagai usaha memperkasa agenda bumiputera dengan menterjemahkan dasar kepada tindakan yang memberi hasil nyata kepada masyarakat.
- Perkukuh UPB sebagai jentera pelaksanaan dengan autoriti, sasaran, data dan akauntabiliti jelas untuk realisasikan agenda Bumiputera
- Laksanakan pelan tindakan kementerian lengkap dengan KPI terukur dan laporan berkala kepada mekanisme pemantauan pusat PuTERA35
- Gunakan scorecard pencapaian bagi menilai penyertaan, pemilikan, pendapatan, skala perniagaan dan penguasaan Bumiputera
- Jadikan pemerkasaan Bumiputera keutamaan nasional, dipantau berterusan dan dinilai berdasarkan hasil nyata dirasai masyarakat
Sekretariat Musyawarah Nasional menerusi satu kenyataan memaklumkan, penubuhan dan pengukuhan UPB bukan perkara baharu, sebaliknya sudah menjadi kerangka rasmi kerajaan menerusi Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2025.
“Dasar yang baik tidak membawa makna jika pelaksanaannya terus tertangguh. Kini tumpuan Kerajaan kini mesti beralih sepenuhnya kepada pelaksanaan, pemantauan dan keberhasilan.
“Keperluan memperkukuh mekanisme khusus bagi menyelaras agenda Bumiputera di seluruh kementerian sudah dibincangkan sejak Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 dan kemudiannya diterjemahkan melalui Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35),” menurut kenyataan itu.
PuTERA35 mengandungi 132 ikhtiar bawah tiga teras dan 12 pemacu dengan matlamat memperkukuh penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam ekonomi negara.
UPB perlu berfungsi sebagai jentera pelaksanaan dengan autoriti, sasaran, data dan akauntabiliti yang jelas bagi memastikan agenda berkenaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Antara langkah yang dicadangkan termasuk setiap kementerian mengaktifkan sepenuhnya UPB, menyediakan pelan tindakan berserta petunjuk prestasi utama (KPI) yang boleh diukur serta melaporkan status pelaksanaan secara berkala kepada mekanisme pemantauan pusat PuTERA35.
Musyawarah Nasional turut mencadangkan pewujudan scorecard pencapaian bagi menilai keberhasilan berdasarkan peningkatan penyertaan, pemilikan, pendapatan, skala perniagaan dan penguasaan Bumiputera dalam sektor strategik.
“Kini tanggungjawab terletak sepenuhnya pada Kerajaan untuk memastikan keputusan ini diterjemahkan kepada tindakan.Tidak boleh ada lagi jurang antara dasar dengan pelaksanaan.
“Pemerkasaan Bumiputera mesti menjadi keutamaan nasional yang digerakkan secara tegas, dipantau secara berterusan dan dinilai berdasarkan hasil yang benar-benar dirasai oleh masyarakat Bumiputera,” tambah kenyataan itu.