
PUTRAJAYA, 13 Ogos – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan pelaksanaan pasport dengan tempoh sah laku 10 tahun kekal diteruskan dan tidak dihentikan.
- Pemberhentian sementara pemberian tambahan tempoh sah laku melebihi 10 tahun susulan ketidakserasian sistem syarikat penerbangan.
- Sebelum ini, pembaharuan pasport diberi tambahan sehingga enam bulan jika baki pasport lama melebihi enam bulan.
- JIM menawarkan penggantian percuma kepada pemegang pasport yang dikeluarkan dengan tempoh sah laku 10 tahun enam bulan.
- Pemegang pasport dengan tempoh genap 10 tahun tidak berdepan masalah perjalanan ke luar negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, yang dihentikan sementara ialah pemberian tambahan tempoh sah laku melebihi 10 tahun susulan isu ketidakserasian sistem yang digunakan oleh beberapa syarikat penerbangan.
Menurutnya, sebelum ini pemohon yang membuat pembaharuan pasport dan masih mempunyai baki tempoh sah laku lebih enam bulan diberikan tambahan tempoh sehingga enam bulan.
“Yang kita hentikan ialah tambahan tempoh melebihi 10 tahun. Maksudnya, bagi pembaharuan pasport untuk tempoh 10 tahun, kita beri tambahan enam bulan dengan mengambil kira baki pasport lama yang masih melebihi enam bulan,” katanya pada sidang media Operasi Khas Jabatan Imigresen di Putrajaya.
Dalam perkembangan sama, JIM menawarkan penggantian secara percuma kepada pemegang pasport yang telah dikeluarkan dengan tempoh sah laku 10 tahun enam bulan.
Zakaria menjelaskan pemegang pasport yang dikeluarkan dengan tempoh sah laku genap 10 tahun pula tidak berdepan sebarang masalah untuk melakukan perjalanan ke luar negara.
Beliau sekali gus menegaskan bahawa tempoh sah laku pasport 10 tahun masih kekal sebagai pilihan yang sah dan tidak terjejas oleh tindakan menghentikan sementara pemberian tempoh tambahan berkenaan.